Jaguh lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly yang berjaya memenangi pingat emas kategori T20 di Paralimpik Tokyo 2020.

KUALA LUMPUR – Jaguh lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly yang berjaya memenangi pingat emas kategori T20 (kecacatan intelektual) di Paralimpik Tokyo 2020.

Beliau juga berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi di Paralimpik Rio 2016.

Menurut laporan Bernama, atlet dari Perlis itu berada dalam kelas tersendiri, apabila terus memimpin kedudukan dengan lompatan pertamanya, 7.26 meter (m), yang sudah cukup mengesahkan emas ketiga Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo.

Abdul Latif seterusnya meninggalkan jauh pencabar lain dengan lompatan 7.45m pada percubaan keduanya, yang merupakan lompatan terbaiknya pada penampilan keduanya di pentas Paralimpik.

Bagaimanapun pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64m di Sukan Para Asia 2018 di Indonesia itu, beraksi kurang baik pada lompatan ketiga dengan 7.24m sebelum lompatan keempatnya dibatalkan.

Atlet berusia 24 tahun itu, yang juga merupakan pemegang rekod Paralimpik dengan lompatan 7.60 di Rio 2016, itu kemudian dihimpit kecederaan selepas mencatat 5.56m pada lompatan kelimanya.

Situasi itu menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan aksinya, dan terpaksa diusung dengan kerusi roda oleh pegawai perubatan untuk menerima rawatan lanjut, namun emas tetap memihak kepada Malaysia.

Athanasios Prodromou dari Greece merangkul perak menerusi lompatan terbaik 7.17m, manakala lompatan sejauh 7.12m membantu Nicholas Hum dari Australia untuk membawa pulang gangsa.

Kejayaan Abdul Latif Stadium Olimpik pada hari ini menyaksikan Malaysia telah mengutip tiga emas, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan sebelum ini.

Terdahulu, Liek Hou mencipta sejarah muncul pemain pertama memenangi emas dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), selepas sukan badminton dipertandingkan buat kali pertama di temasya berprestij itu di sini, kali ini.

Pemain nombor dua dunia itu menewaskan musuh ketatnya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, 21-17, 21-15 pada hari keempat acara badminton yang berlangsung di Yoyogi National Stadium.

Selain itu, jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin menyumbang emas pertama negara di Jepun dalam acara lelaki 72 kilogram (kg) pada 28 Ogos.

Kontinjen negara juga memperolehi dua pingat perak menerusi rakan sepasukan Bonnie, Jong Yee Khie dalam acara 107kg pada Isnin (30 Ogos) dan Chew Wei Lun dalam sukan boccia individu campuran BC1 (kecacatan fizikal) pada Rabu (1 Sept).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast