SEBERANG JAYA – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengarahkan kerja pemasangan sistem solar di sebuah kilang di Simpang Ampat di sini dihentikan serta merta.
Pejabat Pengarah JKKP negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi pemasangan itu diberhentikan berikutan terdapat kemalangan maut membabitkan lelaki warga asing yang sedang melakukan kerja-kerja pemasangan sistem solar di kilang terbabit kelmarin.
“Sepasukan pegawai penyiasat bergegas ke lokasi bagi melakukan siasatan sebaik menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku jam 4.45 petang dan mangsa ditemui dalam keadaan terlentang akibat terjatuh dari bumbung lutsinar di bangunan kilang itu.
“Susulan itu, pihak jabatan telah mengeluarkan notis larangan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 di atas kesalahan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja semasa bekerja sehingga menyebabkan berlaku kejadian kemalangan,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, selain menghentikan kerja-kerja pemasangan sistem solar pihak JKKP negeri turut menyita lokasi kejadian.
“Selain itu, kita juga akan mengambil tindakan perundangan sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab,” jelas kenyataan itu. – MalaysiaGazette