BANTING – Strategi pemasaran serta perancangan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menjadi sasaran utama Datuk Zuraida Kamaruddin bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menjelang 100 hari pentadbiran.
Sebagai permulaan, beliau akan membuat penstrukturan semula KPPK dan agensi di bawahnya bagi meningkatkan produktiviti, kualiti serta memastikan pengurusan sedia ada menjimatkan kos.
“Kemungkinan ada sedikit penyusunan semula kementerian ini yang harus saya laksanakan berbanding kementerian saya sebelum ini iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), saya lihat di KPPK ini, kerja-kerja kementerian hanya 20 peratus.
“Selebihnya iaitu 80 peratus lagi kerja-kerja itu dilakukan menerusi agensi-agensi di bawahnya.
“Perkara itu menjadi sasaran KPI, saya akan melihat perkara ini dan kita akan tambah baik kepada pengeluaran kita Insya-Allah,” katanya pada sidang media di Olak Lempit hari ini.
Terdahulu beliau bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) VACOMS Olak Lempit, di sini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menetapkan semua Menteri dan Timbalan Menteri perlu memenuhi KPI dalam tempoh 100 hari selepas mengangkat sumpah, Isnin lalu.
Perdana Menteri mengagaskan Keluarga Malaysia sebagai teras tindakan selanjutnya dalam menangani krisis kesihatan, ekonomi dan politik pada hari ini.
Dalam pada itu, Zuraida tidak menafikan masih banyak perkara yang perlu beliau bincang sebelum sasaran yang ditetapkan itu dapat menepati KPI yang dikehendaki Perdana Menteri.
“Semua Menteri diarahkan untuk menyenaraikan pencapaian dalam 100 hari di mana yang kita boleh laksanakan.
“Sudah tentu perkara yang mudah untuk dilaksanakan, ada beberapa perkara kita telah berbincang, tapi belum dimuktamadkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette