KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berbesar hati menerima pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri berkuatkuasa serta merta.
Malah dalam satu kenyataan malam ini, beliau sedia menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.
Jelas beliau, kepercayaan diberikan kerajaan itu adalah satu amanah untuk meneruskan segala usaha dan perancangan yang dimulakan sebelum ini bagi memulihkan negara daripada kesan wabak Covid-19.
Kata Muhyiddin, dirinya serta anggota Majlis Pemulihan Negara akan berperanan membantu Perdana Menteri dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara.
“Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri atas pelantikan saya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.
“Saya juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenan pelantikan saya,” katanya.
Kata Muhyiddin lagi pihaknya akan terus menyokong pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan selain mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu.
Ini juga selaras dengan peralihan pengurusan Covid-19 yang akan memasuki fasa endemik, katanya.
“Saya beri jaminan akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia.
“Ini bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Demi nafsu politik ko ni sanggup buat apa saja…insaflah dah tua2 ni…ko paksa Pak Mail lantik ko juga walaupun ko ni terbukti gagal..