Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengecewakan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi ciapan Twitternya petang ini, menyifatkan Muhyiddin sebagai pemimpin yang gagal ketika memegang jawatan Perdana Menteri selama 17 bulan.

“Beliau ketika memegang tampuk pemerintahan negara telah gagal menguruskan respon negara dalam wabak Covid-19 sama ada dari segi kesihatan, ekonomi mahupun pendidikan.

“Muhyiddin juga bertanggungjawab atas penderitaan rakyat ketika ini,” katanya mengulas pelantikan bekas Perdana Menteri itu sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.

Pelantikan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang dilaporkan berkata, telah disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, pelantikan itu atas dasar kepercayaan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menurut Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Pagoh itu juga bertanggungjawab melaksanakan darurat, kononnya dengan tujuan memerangi Covid, tetapi wabak itu menjadi lebih serius di akhir darurat.

“Pengakhiran darurat pula dibuat tanpa perbahasan di Parlimen sehingga Istana Negara sendiri menegur tindakan kerajaan pimpinannya mengelirukan Parlimen, sekali gus membawa kepada kejatuhan beliau,” katanya.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu kemudian menyifatkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN menambah satu lagi lapisan birokrasi yang tidak wajar kerana Muhyiddin masih perlu membentangkan saranan MPN kepada Jemaah Menteri dahulu.

Beliau mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang seolah tidak yakin dengan barisan menterinya.

“Adakah Ismail Sabri tidak yakin dengan menteri-menterinya dan sejauhmana Muhyiddin bersedia memberi saranan kepadanya untuk membatalkan atau menambahbaik mana-mana dasar pengurusan pandemik yang digubal semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri?

“Adakah akan ada kecenderungan bekas Perdana Menteri itu cuba mempertahankan legasinya, bukan menilainya secara objektif?,” soal beliau.

Justeru, beliau menganggap kehadiran Muhyiddin dalam Kabinet baharu Ismail Sabri bertujuan survival politik Naib Presiden UMNO itu semata-mata, tetapi pada masa sama, sampai bila rakyat dan negara perlu menjadi korban kepentingan politik. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Muhyiddin dilantik Pengerusi MPN bertaraf menteri

2 Komen

  1. Pak Mail Oooo Pak Mail…Agong lantik ko jd PM utk pulihkan negara akibat Covid…Sebab nak undi politik, ko lantik plak manusia gagal ni sbg Pengerusi? Patut Pengerusi tu PM, tak pun menteri kabinet..menteri kanan kaa…apa laaaa nak jd ko ni Mail…rakyat sangat kecewa dgn ko ni..dah tak de muka lain…manusia gagal ni ko lantik balik…ko ulang kesilapan sama…berulang2 kali…

  2. patutnya PANkhianat amNANAH DAN P arti K hianat R eformasi fikirkan kegilaan apa yang masih mendewakan calon PM kitar semula ANWAR dgn penipuan NOMBOR2 EKOR kepada YDPA dan rakyat

    GAGAL setelah berusaha LEBIH MULIA daripada GAGAL TANPA USAHA IDEA DAN SOLUSI

Comments are closed.