Muhammad Nur Aizat Noor Azam

KUALA LUMPUR – Isu lompat parti boleh ditangani dengan lebih progresif sekiranya undang-undang recall election dapat digubal secara teratur dan menyeluruh.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Nur Aizat Noor Azam berpendapat, usul dari Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk mengubal Rang Undang-Undang Anti-Lompat suatu yang baik.

Cadangan itu, kata beliau, suatu langkah yang progresif bagi membina negara lebih demokratik dan secara prinsipnya bagi menangani isu lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen.

“Langkah penggubalan rang undang-undang adalah arah yang betul dan perlu dilakukan dengan lebih komprehensif.

“Recall election atau pilihan raya kecil adalah langkah di mana mandat yang diberikan kepada seseorang ahli Parlimen boleh dibatalkan oleh penduduk di kawasan itu dengan cara diadakan pilihan raya semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengemukakan enam aspek penting untuk diambil perhatian oleh kerajaan.

Antaranya, peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 10 dan 48 perlu dipinda terlebih dahulu sebelum undang-undang tersebut boleh diperkenalkan dan digubal.

Kata Aizat, aspek kedua ialah isu keperlembagaan yang dibangkitkan dan dipertimbangkan dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor v Nordin Bin Salleh & Anor [1992] 1 MLJ 697 harus diambil kira dalam penggubalan undang-undang tersebut.

“Ketiga, undang-undang ini mesti memperuntukkan satu threshold yang jelas dan prosedur yang tidak begitu rumit bagi memudahkan akses kepada rakyat untuk menggunakan hak mereka di bawah undang-undang tersebut.

“Keempat, undang-undang tersebut mesti dihadkan hanya bagi menangani isu lompat parti. Pencetus kepada penggunapakaian undang-undang tersebut mesti digubal dalam perkataan yang sangat jelas bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau penyalahgunaan oleh mana-mana pihak di masa hadapan.

“Kelima, satu garis masa yang pendek dan efektif bagi proses PRK di bawah undang-undang tersebut mesti diperuntukan,” katanya.

Kata beliau, akhir sekali, isu kos bagi recall election mesti dibincangkan dan satu penyelesaian yang seimbang perlu diterima pakai.

Bagaimanapun, Aizat sedar proses penggubalan undang-undang itu akan mengambil masa, namun ianya langkah penting untuk bergerak ke hadapan.

Langkah itu, menurutnya, nyata sekali akan memastikan kestabilan kepada mana-mana kerajaan yang mentadbir negara ini dan juga ketelusan di pihak ahli Parlimen.

“Saya menyeru semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik untuk berganding bahu dan menyokong cadangan ini,” katanya. – MalaysiaGazette