Sekumpulan pelajar dari FKE UTeM menyerlah di IMDC 2021 dengan memenangi hadiah utama Sarawak Energy Design Challenge menerusi projek Distribution Line Fault Alert System (DLFAS).

KUALA LUMPUR – Kumpulan penuntut dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya merangkul beberapa kemenangan unggul di pertandingan akhir Innovate Malaysia Design Competition (IMDC) 2021, baru-baru ini.

Menerusi kenyataan UTeM, pasukan UTeM menyerlah di IMDC 2021 dengan memenangi hadiah utama Sarawak Energy Design Challenge menerusi projek Distribution Line Fault Alert System (DLFAS).

DLFAS merupakan prototaip sistem amaran kerosakan talian pengagihan bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna di seluruh negeri Sarawak terutamanya di kawasan yang tiada rangkaian selular.

Kejayaan utama ini telah melayakkan 3 orang penuntut bersama 2 orang penyelia membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM 3,000.00.

Kumpulan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) itu terdiri daripada Ng Chi Yuan dan Soon Wei Sheng yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Wong Chee Oon yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik.

Kumpulan di bawah bimbingan penyelia kumpulan yang juga tenaga pengajar dari FKE, Profesor Madya Dr. Hidayat Zainuddin dan Prof. Madya Dr. Sharifah Sakinah Syed Ahmad dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

Pada masa yang sama kumpulan berkenaan turut berjaya memenangi hadiah saguhati sebanyak RM 500,00 bagi kategori Microsoft Track.

UTeM turut mencapai kemenangan hadiah tempat kedua sebanyak RM 3,000.00 dalam kategori Keysight Track pula menerusi projek Development of Myoelectric Muscle Sensor with IoT Technology for Continuous Prediction of User Motion Intention.

Projek itu adalah berkaitan dengan pembangunan sistem pengesan gabungan daripada isyarat neuro dan mekanikal untuk kelancaran pengendalian tangan robotik agar berfungsi mengikut kehendak pergerakan pengguna bagi tujuan rehabilitasi.

Projek yang sama telah dibangunkan oleh dua orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dari FKE iaitu Lee Leong Jin dan Chan Hwa Sheng di bawah bimbingan penyelia kumpulan yang juga tenaga pengajar FKE, Dr. Norafizah Abas dan Prof. Madya Dr. Mohd Shahrieel Mohd Aras.

Dua pasukan lain dari UTeM turut menyerlah dan memberikan saingan hebat di peringkat akhir IMDC 2021 dan mereka telah memenangi hadiah saguhati sebanyak RM 500.00 bagi kategori Keysight Track dan CREST Design Challenge.

Kumpulan dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) mempamerkan kebolehan mereka menerusi projek Design of An Automated Illuminated Emergency Exit Door System bagi kategori Keysight Track manakala pasukan dari FKE pula menerusi projek Design and Development of on-the go Soil Fertility Measurement by Using ATV bagi kategori CREST Design Challenge.

IMDC 2021 menjadi medan untuk mempamerkan potensi bakat dan inovasi daripada kalangan mahasiswa seluruh negara dan melibatkan penyertaan daripada 274 pasukan dari 27 buah universiti dalam negara.

Hanya 36 pasukan telah disenarai pendek sebagai pasukan finalis berentap di pertandingan akhir seterusnya yang terbaik telah merangkul pelbagai hadiah yang ditawarkan oleh industri dan badan profesional kejuruteraan bertaraf dunia.

Pertandingan ini meliputi pelbagai bidang teknologi dan aplikasi termasuk litar bersepadu, sistem elektronik, IoT, pemodelan 3D, big data, aplikasi mudah alih dan awan, automotif, aplikasi pintar, teknologi hijau, bioengineering dan bidang inovasi teknologi yang lain.- MalaysiaGazette