Tan Sri Mohd Yussof Latiff.

GEORGE TOWN – Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff menggesa Kerajaan Persekutuan menubuhkan sebuah Majlis Kerukunan Politik Negara (MKPN) bagi merangka rukun-rukun politik untuk rakyat negara ini.

Mohd Yussof berkata, MKPN boleh diuruselia Kementerian Perpaduan Negara dengan melantik tokoh-tokoh politik, negarawan dan ahli-ahli akademik untuk merangka rukun politik tersebut.

Jelas beliau, rukun politik yang dirangka itu dapat dijadikan sebagai tiang negara dan panduan kepada semua ahli-ahli politik dan pertubuhan politik mengenai apa yang boleh dan tidak boleh diamalkan dalam berpolitik.

“Keadaan politik negara kita dilihat tidak stabil kerana ahli-ahli politik ini semakin hari hanya berminat untuk melakukan permainan politik jadi rasa perlu rangka rukun politik.

“Rukun politik ini bertujuan menjaga keharmonian hidup rakyat yang berbilang kaum yang berteraskan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara dan Kontrak Sosial.

“Selain itu, rukun politik ini juga perlu dijadikan syarat dan peraturan bagi semua ahli politik dan pertubuhan-pertubuhan politik untuk tidak menyentuh isu-isu sensetif dan tidak sama sekali mempertikaikan Perlembagaan Negara dan Institusi Raja Berpelembagaan serta Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan,” katanya pada pemberita di sini hari ini.

Tambah Mohd Yussof, pihaknya yakin dengan rukun politik, semua ahli politik dan pertubuhan-pertubuhan politik terutamanya golongan muda mempunyai satu garis panduan dan mengetahui parameter untuk berpolitik dengan sihat.

“Rukun politik ini juga boleh meningkatkan integriti ahli-ahli politik supaya menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan sedar tahap kebebasan yang perlu dihadkan di negara ini atas faktor keharmonian kaum.

“Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, kita mempunyai kewajipan dan tangungjawab untuk sentiasa celik berkaitan Pelembagaan, Rukun Negara dan Kontrak Sosial supaya menerusi pegangan ini Malaysia akan sentiasa berada dalam keadaan aman damai dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama,” ujar Mohd Yussof. – MalaysiaGazette