Foto Instagram Shuib.

KUALA LUMPUR – Semalam genap 26 hari pemergian penyanyi terkenal iaitu Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang bukan sahaja meninggalkan kesan yang mendalam buat ahli keluarganya malah seluruh rakyat Malaysia.

Menerusi hantaran di Instagram milik suami arwah, Shuib memuat naik video pendek yang memaparkan dia berada di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak untuk menziarahi kubur isterinya itu.

Daripada rakaman video, Shuib yang mengenakan baju melayu berwarna hitam kelihatan sayu seolah-olah menahan rindu terhadap isteri tercinta.

Dia hanya menulis kapsyen yang ringkas namun maksud ayat tersebut sangat menyentuh hati pengikut laman sosialnya.

“Boleh jumpa, cuma lain suasana,” tulis Shuib.

Di ruangan komen, kebanyakan netizen dan rakan artis turut meluahkan rasa sedih selain mendoakan agar Shuib dan anak-anak diberi ketabahan untuk menempuhi hari-hari mendatang.

Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) pada 8 Ogos lalu.

Pasangan itu berkahwin pada 26 Februari 2011.

Pasangan ini juga mempunyai tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, serta bayi lelaki diberi nama Ayash Affan yang dilahirkan secara pembedahan dua hari sebelum Siti Sarah meninggal dunia bagi menyelamatkan kandungannya. – MalaysiaGazette