Antara penduduk yang hadir untuk menerima barang agihan keperluan asas menerusi program Pasar Mesra di Pangsapuri PPR HICOM, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor memperkenalkan inisiatif Pasar Mesra yang menyediakan barangan basah pada harga jauh lebih murah dengan mensasarkan penduduk di kawasan perumahan kos rendah.

Setiap bungkusan barangan yang mengandungi dua ekor ayam segar, beberapa jenis sayuran dan buah-buahan serta satu papan telur itu bernilai RM60 namun penduduk hanya perlu membayar pada harga RM20 untuk mendapatkannya.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail berkata, program Pasar Mesra itu dijalankan selama sebulan pada setiap hari Sabtu dan Ahad membabitkan lapan lokasi berlainan.

Menurut beliau, program itu digerakkan menerusi anak syarikat kerajaan negeri, Bingkisan Mesra Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Ini adalah pandangan dari Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari supaya kita bukan melihat kepada bakul makanan asas sahaja tetapi juga keperluan lain yang diperlukan oleh masyarakat sepanjang pandemik Covid-19 ini.

“Sebanyak lapan lokasi telah dipilih untuk program ini dengan membabitkan 200 penduduk terawal. Kita beri barangan bernilai RM60 tetapi penduduk hanya perlu membayar harga RM20 sahaja untuk mendapatkannya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bungkusan barangan Pasar Mesra kepada penduduk Pangsapuri PPR Hicom di sini hari ini.

EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar Dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail menghulurkan barangan keperluan asas kepada penduduk ketika hadir melawat ke Pasar Mesra di Pangsapuri PPR HICOM, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 SEPTEMBER 2021.

Kata beliau, selain Pangsapuri PPR Hicom dan Seksyen 8, program Pasar Mesra itu dijangka dianjurkan di Seksyen 19 dan Seksyen 20 termasuk di kawasan Ampang serta Klang.

Tambahnya lagi, tumpuan utama diberikan di perumahan-perumahan kos rendah bagi membantu kehidupan masyarakat di kawasan tersebut.

“Saya berharap model ini boleh diguna pakai secara lebih meluas oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain, selain mengalu-alukan semua pihak di luar sana terutamanya badan-badan korporat untuk turut berganding bahu dalam program sebegini.

“Ini kerana fokus kita adalah untuk memberi makanan yang lebih bermanfaat kepada masyarakat yang terkesan akibat wabak,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Rodziah berkata, kira-kira 60,000 unit Rumah Selangorku telah diluluskan oleh pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor sepanjang tahun ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 120,000 permohonan.

Beliau berkata, kesemua unit tersebut kini berada dalam fasa kebenaran merancang dan sedang dalam pembinaan.

“Pada awal pandemik Covid-19 memang ada alami sedikit kelewatan apabila Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri lambat mengeluarkan kelulusan untuk pembinaan.

“Namun hasrat untuk melihat proses pembinaan berjalan dengan lancar masih lagi menjadi fokus utama kita dengan setiap daerah membabitkan sebanyak 20,000 unit terutamanya di Lembah Klang,” ujarnya. – MalaysiaGazette