Reaksi atlet paralimpik Malaysia, Muhammad Ziyad Zolkefli tiba selepas beraksi pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam acara lontar peluru lelaki F20 di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli menegaskan dia dan jurulatihnya, Faizol Harun tiba di tempat pertandingan tepat pada waktunya iaitu pada pukul 5.55 petang.

Menerusi penjelasan di Instagramnya hari ini, atlet berusia 31 tahun itu menafikan isu kelewatan yang dikatakan berpunca kerana dia sibuk menghubungi ahli keluarganya adalah salah faham.

Dia juga keliru apabila dia didakwa enggan mengaku yang dia tiba lewat di tempat pertandingan.

“Saya pun keliru bila ada orang bertanya kenapa jurulatih saya tidak mengaku sahaja saya lewat sedangkan saya sendiri telah mengaku kepada isteri saya yang saya lewat dua minit seperti disiarkan oleh Astro Arena.

“Ada yang cakap saya lewat sebab sedang sibuk telefon keluarga saya… pening saya.

“Sebenarnya saya tidak lewat. Rupanya ianya salah faham sahaja. Selepas penyertaan saya dibatalkan, saya berjumpa dengan jurulatih saya. Coach saya memberitahu pengadil mengatakan saya lewat dua minit.

“Saya nak bagitau semua dan saya yakin yang saya dan jurulatih saya sampai tepat pada waktunya iaitu 5.55 petang… itu sahaja,” katanya.

Namun nasib tidak menyebelahi Ziyad apabila dirinya diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start’ (DNS) kerana didakwa lewat melapor diri ke bilik menunggu dan kemenangan menjadi milik Maksym Koval dari Ukraine. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast