Muhammad Nadir selesai disuntik vaksin Moderna di Gaza semalam.

KUALA LUMPUR – Aktivis kemanusiaan Palestin, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman hari ini berkongsi pengalamannya disuntik vaksin dos pertama dan menjalani kehidupan seharian dalam situasi pandemik Covid-19 di Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu bersama kakitangan Wisma Malaysia selesai disuntik vaksin Moderna.

Menurut beliau, ramai rakan di Malaysia bertanya kepadanya mengenai situasi pandemik Covid-19 di Gaza.

“Situasi Covid-19 tidaklah terlalu membimbangkan memandangkan pergerakan keluar masuk penduduk dari Gaza sangat terhad, bermakna penyebaran jangkitan dari luar minimal.

“Semasa perang 11 hari Saiful Quds, SOP diringankan kerana penduduk meletakkan keutamaan menyelamatkan nyawa dari roket dan bom serta menyelamatkan nyawa mangsa perang.

“Selepas perang, SOP masih diringankan kerana penduduk terlalu sibuk membangunkan semula Gaza,” katanya menerusi aplikasi Telegram hari ini.

Menurut beliau, ketika perang, Kementerian Kesihatan Palestin yang sebelumnya mengiklankan jumlah positif Covid-19 setiap hari beralih mengiklankan jumlah syuhada yang terkorban dan cedera setiap hari.

Bagaimanapun, kata Muhammad Nadir, saf solat di masjid sehingga kini masih lagi dijarakkan.

“Hari ini SOP mula diketatkan semula bila mana kebenaran masuk ke sebahagian pusat membeli-belah diwajibkan memakai topeng, pegawai kerajaan dan pemilik premis perniagaan juga diwajibkan mengambil vaksin.

“Malah, kerajaan mengambil inisiatif membuat cabutan bertuah kepada mereka yang mengambil vaksin untuk menggalakkan penduduk mengambilnya sehingga setiap hari puluhan ribu penduduk dapat divaksin,” katanya.

Beliau berkata, jenis vaksin yang ada sama ada Sputnik, Pfizer, Moderna dan lain-lain bergantung kepada sumbangan dari negara yang memberikannya kepada Palestin.

Di Gaza, kata beliau, akibat kejahilan sebahagian kecil penduduk takut untuk mengambil vaksin atas alasan kesan kepada kesihatan.

Tetapi, ujarnya, tidak pernah kedengaran rakyat Palestin menolak vaksin kerana takut ia agenda illuminati dan freemason, apatah lagi projek Yahudi dan WHO untuk membunuh umat Islam. – MalaysiaGazette