Pekerja menyusun bakul makanan di dalam guni yang akan dihantar ke Pulau Ketam bagi Program Bantuan Makanan di Bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) Peringkat Parlimen Kapar di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Klang, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 19 JULAI 2021.

PANDEMIK Covid-9 yang masih beterusan melanda dunia dan rakyat negara kita selama hampir 2 tahun ini telah memusnahkan ekonomi ramai individu. Yang miskin ibarat hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang terus hilang punca pendapatan kerana tidak boleh keluar bekerja. Hingakan ada yang tiada duit hata untuk sesuap nasi. Malah ada yang sebelum ini mempunyai pekerjaan dan sumber ekonomi yang stabil, tiba-tiba jatuh terduduk kehilangan punca secara tiba-tiba.

Lebih parah lagi apabila liabiliti mereka yang berdasarkan sumber pendapatan sebelum ini harus dikecilkan .Di manakah mereka hendak mencari duit untuk membayar rumah, kereta dan membeli keperluan harian. Namun keprihatinan rakyat Malaysia amat patut dipuji. Walaupun negara ini diketahui mempunyai masyarakat berbilang kaum, apabila bantuan diperlukan, hasilnya dibahagi sama rata kepada individu yang terjejas. Pada fasa awal pandemik,tabung-tabung bantuan yang diselaraskan oleh banyak kumpulan NGO dapat mengutip jumlah yang banyak dalam masa beberapa hari sahaja.

Maka bantuan dapat diedarkan kepada yang memerlukan sama ada berbentuk wang ringgit ataupun barangan makanan kering ataupun keperluan lain yang mendesak. Kedai-kedai runcit dan pasar raya juga membuka gerobok rezeki hasil ihsan pemilik kedai dan juga sumbangan orang ramai. Rezeki sama dikongsi bukan sahaja untuk rakyat Malaysia malah pekerja asing yang tidak dapat pulang ke negara masing-masing juga turut mendapat manfaat. Membantu orang tidak boleh memilih etnik, keturunan, agama atau negara tertentu selari dengan prinsip kemanusiaan.

Kemudian timbul pula masalah apabila hospital terutamanya di Lembah Klang memasuki fasa tenat dan kurang kemudahan akibat pertambahan pesakit covid 19 pelbagai kategori yang mendadak. Bukan sahaja ruang tidak mencukupi, malah peralatan perubatan termasuk oksigen juga menjadi kritikal kerana pesakit yang datang melebihi kemudahan yang sedia ada. Maka banyak NGO yang prihatin bersama dengan kemurahan hari rakyat Malaysia, dalam sekelip mata sahaja jumlah wang yang banyak dapat dikumpulkan untuk membeli kemudahan-kemudahan di hospital yang mendesak. Dari jabatan kecemasan, wad hinggalah ke ICU, semuanya menerima bantuan yang jika dikira melebihi jutaan
jumlahnya.

Malah ada juga orang perseorangan atau kumpulan-kumpulan yang tidak berdaftar tetapi
mampu mengumpul sejumlah bantuan bagi memberi keperluan dan disumbangkan kepada pihak hospital. Apabila jumlah jangkitan dan hospital di negeri lain pula terjejas, maka bantuan terus dikumpulkan dan diberikan kepada yang memerlukan. Malah apabila terjadinya peristiwa kepala air di Kedah yang mengorban ramai nyawa dan menyebabkan penduduk di sana kehilangan tempat tinggal , bantuan terus dikumpulkan untuk disalurkan ke sana dan ramai sukarelawan berpusu-pusu kesana untuk memberi
bantuan. Kini pandemik di lebih terkawal dan mungkin kita akan beralih ke fasa endemik pula. Dengan usaha petugas barisan hadapan yang tidak pernah berputus asa, merawat pesakit covid 19 walaupun dengan serba kepayahan hingga ada yang terkorban, membuat pemeriksaan dan menentukan kategori pesakit serta bertugas pusat-pusat vaksin di seluruh negara.

Orang ramai juga berlumba-lumba menjadi sukarelawan bagi membantu petugas barisan hadapan demi memastikan imuniti kelompok cepat dicapai. Kini kemasukan pesakit di hospital-hospital kerajaan di Lembah Kelang berkurangan dengan amat banyak dan pesakit tidak lagi menunggu lama di jabatan kecemasan ataupun terpaksa di rawat di khemah-khemah sementara. Walaupun ICU masih penuh tetapi jumlah kematian harian juga semakin berkurangan.

Inilah keindahan hidup bermasyarakat yang berbilang kaum. Walaupun ada suara-suara sumbang yang cuba menganngu keharmonian hidup bermasyarakat, kebanyakkan rakyat Malaysia masih tetap mengamalkan sikap baik mereka dengan berterusan menghulurkan bantuan sama ada dari segi wang ringgit atau tenaga. Ini sangat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘rakyat prihatin’.

Keprihatinan ini sangat-sangat diperlukan dalam menangani penularan covid 19 ini supaya setiap invidu sama-sama mengamalkan SOP dan memastikan vaksin diperolehi kerana penjagaan diri dan keluarga bermakna kita juga menjaga masyarakat keseluruhannya. Sabda Rasulullah SAW, dari Abu Hurairah RA: ‘ Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan di hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain,pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat.barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah
sentiasa menolong hambaNya itu suka menolong saudaranya.’

Akan ada banyak lagi bantuan yang diperlukan bagi menangani pasca covid 19 nanti. Ada ramai anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa, ada ibu bapa yang kehilangan anak mereka, ada ramai bekas pesakit covid 19 yang menghidapi penyakit kronik, ada ramai ibu tunggal yang kehilangan tempat bergantung kerana masalah perceraian yang meningkat . Kesemua masalah ini memerlukan keprihatinan kita sebagai rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu. Moga covid 19 cepat berlalu dan kita semua dapat hidup seperti biasa.

Dr Afizah Salleh
Pakar Pembedahan Am
Hospital Pakar An-Nur

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast