Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjalan keluar selepas menghadiri perbicaraan kes berhubung pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya langsung tidak boleh bertanggungjawab kepada 12 pertuduhan pecah amanah (CBT) terhadapnya.

Ini kerana buku cek peribadi Ahmad Zahid dan Yayasan Akalbudi sebenarnya dipegang secara eksklusif oleh bekas setiausaha eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Itu antara hujah dikemukakan oleh peguambela, Hamidi Mohd Noh demikian dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah pada hujahan akhir melibatkan pertuduhan pecah amanah, rasuah dan juga penggubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Hujah Hamidi, daripada 52 cek yang telah dikeluarkan sebanyak 44 cek telah dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu melalui akaun bank Affin miliknya.

Jelas Hamidi, buku cek itu sebenarnya dalam kawalan dan jagaan Mazlina malah saksi itu sendiri ada mengakui perkara tersebut ketika pemeriksaan balas sebelum ini.

Mazlina merupakan saksi utama pendakwaan ke-90 dalam kes melibatkan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO.

“Sebelum ini juga telah didedahkan bagaimana Mazlina telah mengeluarkan cek yang telah ditandatangani Ahmad Zahid itu lebih awal dan membawa cop yang terdapat tandatangan anak guam tanpa pengetahuannya.

“Liabiliti saksi yang sebelum ini setiausaha eksekutif tertuduh tidak boleh diserahkan kepada tertuduh atas dakwaan CBT kerana tiada tindakan tidak jujur Mazlina juga yang pegang kunci laci buku-buku cek itu manakala tertuduh tiada akses.

“Selain itu, terdapat 32 cek yang telah dicop dan tidak mempunyai tulisan tangan tertuduh juga tidak hantar untuk analisis tandatangan.

“Cek juga telah ditandatangan lebih awal. Terdapat 10 cek seperti itu,” hujah Hamidi.

Dalam pada itu, pembelaan turut mendakwa pasukan pendakwaan sebenarnya sangat bergantung kepada terhadap Mazlina untuk membuktikan kes berkenaan.

“Tetapi pada masa sama saksi pendakwaan ini jelas terbukti tidak boleh dipercayai, tidak kompeten dan sangat cuai,” ujarnya.

Sebelum ini, Mazlina pernah mengakui dirinya cuai menguruskan beberapa keping cek Yayasan Akalbudi bagi pembayaran kad kredit milik Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO ketika ini.

Malah Mazlina pernah mengakui kesilapannya membuat pembayaran kad kredit melebihi jumlah yang sepatutnya dengan menggunakan cek yayasan itu.

Dakwa bekas setiausaha itu, Ahmad Zahid mengizinkannya untuk menggunakan cop yang ada replika tandatangannya pada cek Yayasan Akalbudi untuk menyelesaikan bil kad kredit.

Mazlina berkata, cop itu akan digunakan ketika bekas Menteri Pertahanan itu berada di luar pejabat, menghadiri perjumpaan atau di luar negara.

Prosiding akan bersambung esok pagi.

Ketika ini, Ahmad Zahid  sedang berhadapan dengan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. -MalaysiaGazette