Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (kiri) bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Menteri MOSTI dan Menteri Kesihatan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendedahkan Datuk Seri Dr Adham Baba adalah bos pertamanya dalam karier beliau sebagai seorang ahli politik.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, semua itu bermula pada tahun 2000 ketika Adham yang merupakan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi ketika itu memegang jawatan di dalam parti sebagai Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO Malaysia.

“Sebenarnya saya nak bagitahulah ramai yang tak tahu benda ni. Ini bos pertama saya dalam politik, tahun 2000 dia Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO saya Setiausaha, saya kuli dia dulu.

“Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Adham kerana mengendalikan KKM selama setahun lebih dan saya ucapkan selamat maju jaya dalam kementerian yang baharu tempat lama saya dan saya percaya beliau akan terus memberikan kerjasama dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas antara beliau dengan Adham di sini hari ini.

Dalam bidang politik, Khairy sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia bermula dari 2008 hingga 2018.

Sebelum ini, Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara dilantik sebagai Menteri Kesihatan ketika kerajaan dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, dalam Kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kedua-dua mereka bertukar portfolio namun, masih lagi bekerjasama di dalam Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF). – MalaysiaGazette