Gambar hiasan

BAYAN LEPAS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan tiga notis kepada pembekal dan peniaga ayam di negeri itu ekoran kenaikan bahan mentah tersebut.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, notis berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan pihaknya mendapatkan maklumat harga ayam, sekali gus mengesan punca kenaikannya.

“Trend kenaikan harga ayam ini berlaku di semua negeri dan kita memang ada terima aduan berhubung isu yang sama di Pulau Pinang.

Mohd Ridzuan

“Berdasarkan siasatan awal, pihak kami dapati trend kenaikan harga ayam bermula sejak Ogos lalu.

“Setakat ini, harga paling tinggi direkodkan bagi sekilo ayam di negeri ini ialah RM10.30 manakala paling murah di pasar raya iaitu RM5.99 sekilo,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Ridzuan meninjau Kilang Medivan yang membekalkan kit ujian kendiri pantas antigen Covid-19 di sini.

Naimah Abdullah menunjukkan kit ujian kendiri pantas antigen Covid-19 keluaran kilang Medivan di Bayan Lepas hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, alasan kenaikan harga ayam itu masih dalam siasatan.

“Kita akan kaji maklumat harga yang diperoleh daripada pembekal dan peniaga di Nibong Tebal itu bagi mendapatkan punca sebenar kenaikan harga ayam,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ridzuan berkata, tiada laporan penjualan harga kit ujian kendiri pantas antigen Covid-19 melebihi harga siling ditetapkan kerajaan di Pulau Pinang.

“Berdasarkan 55 pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan pihak penguat kuasa di sekitar negeri ini mendapati semua peniaga mematuhi harga siling RM19.90 yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, kita memberi peluang untuk peniaga mematuhi ketetapan harga siling itu sehingga 12 September ini.

“Individu yang menjual peralatan itu melebihi harga maksimum selepas tarikh tersebut boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat pula, boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun RM250,000,” jelas Mohd Ridzuan. – MalaysiaGazette