Seorang suspek tempatan disyaki ahli sindiket rokok seludup ditahan hasil serbuan dan rampasan rokok tak bercukai di sebuah rumah yang dijadikan setor simpan dalam kejadian baru baru ini. Foto ihsan, PGA.

CHERAS – Satu sindiket yang menjadikan sebuah rumah di kawasan penempatan sebagai stor menyimpan rokok seludup berjaya ditumpaskan oleh pihak berkuasa.

Serbuan yang dijalankan lebih kurang 4.15 petang itu menyaksikan seorang lelaki tempatan, 51, dipercayai anggota sindiket penyeludupan rokok haram itu ditangkap.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risik Briged Tengah PGA CherasĀ  telah membuat menggempur premis kediaman itu yang terletak di Salak Selatan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu kita berjaya merampas sebanyak 107 kotak rokok pelbagai jenama dan sebuah kereta yang disyaki digunakan dalam menjalankan aktiviti pengedaran dan penjualan rokok tidak bercukai itu,” katanya menerusi kenyataan kejayaan tangkapan itu tengah hari tadi.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan rampasan rokok disyaki tidak bercukai adalah sebanyak 6,000 karton atau lebih tepat 1,106,400 batang rokok yang keseluruhan nilai rampasannya dianggarkan berjumlah RM1,324,592.

Serbuan berkenaan berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dan penjualan rokok tidak bercukai di sekitar Lembah Klang.

Suspek telah ditahan dan sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette