KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) telah memulakan langkah untuk menjadikan salah seorang pemain pertahanan mereka, Argzim Redzovic sebagai pemain naturalisasi bermula pada saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Perkara ini dikongsikan oleh pengurus pasukan, Zulfadli Rozi menerusi laman media sosial Twitter miliknya.
Beliau menjelaskan Argzim akan melengkapkan syarat utama iaitu lima tahun beraksi di Malaysia pada tahun hadapan.
Argzim mula beraksi bersama Terengganu pada musim 2020 dan sejak itu beliau banyak terlibat dalam saingan Liga Premier bersama Terengganu II.
Sebagai rekod, Argzim mula beraksi dalam saingan Liga Malaysia bersama Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) pada tahun 2018 hingga 2019 dan kemudiannya menyertai Terengganu.
Pemain kelahiran Montenegro itu juga telah mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita tempatan serta dikurniakan seorang cahaya mata. – MalaysiaGazette