kleptocrats Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh PAS Ulama Central Council Leader Muhyiddin Yassin
Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh

KUALA LUMPUR – Pas tidak bersetuju tugas membendung penularan ajaran sesat diletakkan pada bahu ulamak semata-mata.

Sebaliknya, usaha membendung ajaran sesat yang berlaku sepanjang zaman itu menjadi tugas semua pihak, kata Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Beliau berkata, umat Islam perlu sensitif dengan sebarang ideologi yang tersebar dan sekiranya terdapat kekeliruan mengenai sesuatu isu, mereka perlu merujuk kepada pakar.

“Dalam sejarah, ajaran sesat ini berlaku sepanjang zaman. Apabila penularan itu sentiasa ada, sepatutnya menjadi tugas dan tanggungjawab semua pihak, bukan ulamak sahaja.

“Kita kena sensitif dengan perkara begini dan setiap benda jika ada ajaran memesongkan, masyarakat perlu terus merujuk kepada pakar,” katanya sebagaimana dipetik HarakahDaily, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan ll memuji sensitiviti umat Islam di negara ini kerana peka terhadap sebarang perilaku atau ideologi pelik yang cuba untuk disebarkan pihak luar.

Dr. Nik Muhammad Zawawi turut terima kasih kepada Pejabat Agama Negeri, Majlis Agama Negeri dan rakyat secara umumnya kerana sentiasa memberi kerjasama kepada kerajaan dalam membendung penularan ajaran sesat.

“Masyarakat kita ini sensitif apabila sebut perkara pelik, tetapi kadang-kadang ada juga perkara yang agak ganjil dan baharu yang sensitif itu sebenarnya ilmu, tetapi menjadi sensitif disebabkan kejahilan kita.

“Alhamdulillah, sikap sensitif kita menyebabkan apa juga ajaran sesat tidak akan dapat berkembang dan bertapak di Malaysia. Ajaran itu akan hancur dan ada tindakan diambil penguatkuasaan diambil,” katanya.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya, kemunculan ajaran sesat ada kait rapat dengan kesedaran Islam.

Ujar beliau, jika masyarakat di sesuatu tempat itu mempunyai kesedaran Islam yang tinggi, mustahil untuk pihak tertentu membawa ajaran sesatnya terutama kepada mereka yang kurang ilmu agama. – MalaysiaGazette