arti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) berjanji akan membuat kemunculan semula pada masa akan datang, kata Muhyiddin.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) berjanji akan membuat kemunculan semula pada masa akan datang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata, parti itu akan menunggu sehingga pilihan raya umum dapat diadakan dengan selamat di mana mandat dapat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Tegas beliau, pada masa itu, Perikatan Nasional (PN) dan dirinya sebagai pengerusi akan mengambil bahagian dalam pilihan raya.

“Insya- Allah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, we will make a comeback!

Sehingga saat itu, saudara dan saudari sebagai ahli parti mestilah melakukan segala persiapan. Tumpukan kepada usaha untuk memperkuatkan parti di akar umbi.

“Jangan bersengketa sesama kita. Elakkan perasaan dengki dan irihati. Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan Bersatu sebagai parti pilihan rakyat,” katanya yang juga bekas Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Presiden Bersatu sempena Ulang tahun kelima Bersatu di Facebook Page Bersatu Malaysia di sini malam ini.

Muhyiddin turut menasihat ahli parti agar memperkukuh kerjasama dengan parti-parti komponen PN di semua peringkat khususnya di bahagian dan cawangan.

Dasar parti itu tegas beliau, Bersatu tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya.

“Kita memerlukan sokongan parti-parti komponen PN dan parti-parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

“Kita juga mesti teruskan kerja-kerja amal. Rakyat nak merasakan jasa kita kepada mereka. Apa bantuan yang kita boleh sampaikan. Ziarah mereka. Tanya khabar mereka. Cukup makan atau tidak? Sakit demam mereka bagaimana dan kita bantulah mereka. Itulah yang terbaik untuk kita lakukan.

“Buktikan budaya politik Bersatu ini berbeza. Politik kita ialah politik khidmat. Politik prihatin. Politik jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki. Bukan politik perkauman yang melampau. Bukan politik adu-domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.