KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas dua tuduhan melakukan penggubahan wang haram RM100,000.

Ini juga merupakan kali kedua Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar menafikan penglibatan dengan aktiviti penggubahan wang haram ini.

Syed Saddiq membuat pengakuan ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di Suzana Hussin sebentar tadi.

Prosiding hari ini merupakan sebutan semula dua pertuduhan bersubahat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berikutan pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Sebelum ini pada 5 Ogos lepas, Syed Saddiq dikenakan dua pertuduhan pengubahan wang haram dan bekas Ketua Armada itu mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan.

Syed Sadiq juga telah memohon kes tersebut dibicarakan sekali ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mengikut dua pertuduhan bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dia dituduh terlibat dalam pemindahan dana itu dua kali pada 16 dan 19 Jun 2018.

Di bawah Seksyen 4(1) akta ini jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Pada setiap kejadian di Maybank Islamic Berhad, Taman Perling di Johor Bahru, Syed Saddiq dituduh telah memindahkan RM50,000 dari akaun Maybank Islamic Berhad ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera.

Pihak pendakwaan meminta pemindahan kes itu supaya dua tuduhan Syed Saddiq bersubahat dapat didengar bersama-sama dengan dua tuduhan penyelewengan lain yang melibatkan dana sebanyak RM1.12 juta daripada Bersatu. 

Kedua-dua tuduhan penyelewengan itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Hakim Suzana juga menetapkan 30 November untuk sebutan semula kes, sementara menunggu keputusan pendengaran permohonan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. – MalaysiaGazette