Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingat semua pihak agar tidak cepat berpuas hati dengan kadar vaksinasi yang sudah mencapai pada tahap 75 peratus.

Seri Paduka bertitah, usaha hendaklah diteruskan oleh semua pihak bagi mengekang penularan wabak Covid-19 terutamanya kemunculan pelbagai varian baharu.

“Kini hampir 75 peratus pekerja sektor pembuatan yang berdaftar dengan imunisasi, industri telah menerima vaksinasi lengkap dan telah membantu meningkatkan produktiviti di sektor pengilangan dan pembuatan.

“Di sebalik kejayaan ini beta menyeru supaya kita jangan cepat terleka dan berpuas hati. Usaha hendaklah diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baharu.

“Hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan seberapa sektor,” titah Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah dalam Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-14 2021 di sini hari ini.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pelbagai negara atas sumbangan vaksin Covid-19 kepada Malaysia.

Titah Seri Paduka Baginda, Malaysia menerima sumbangan itu daripada United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Arab Saudi, China, Emiriah Arab Bersatu.

“Beta turut menyokong peranan aktif Malaysia serta pendekatan pragmatik yang diambil oleh kerajaan dalam bidang diplomasi yang akhirnya meningkatkan imej dan reputasi negara di persada antarabangsa.

“Ini dapat dilihat menerusi pelbagai bantuan vaksin yang diterima daripada negara-negara lain,” titah Seri Paduka. – MalaysiaGazette