Eizlan Yusof.

KUALA LUMPUR – Gagal mencari penyelesaian melalui mediasi, kes saman fitnah antara dua pelakon,  Datuk Seri Eizlan Yusof terhadap Datuk Hans Isaac akan ditentukan melalui perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian memerintahkan plaintif iaitu Eizlan dan defendan, Hans Issac memfailkan dokumen pra perbicaraan pada atau sebelum 18 Oktober ini.

Mahkamah juga telah menetapkan 28 Oktober untuk pengurusan kes selanjutnya dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azimah Omar.

Peguam mewakili Eizlan, Datuk Shaharudin Ali berkata, sepatutnya pengurusan hari ini melalui talian adalah untuk memaklumkan perkembangan terkini saman yang sebelum ini melalui proses mediasi.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah menyarankan agar kes saman fitnah dapat diselesaikan melalui proses mediasi sahaja.

Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md Yusof, 50, memfailkan saman menerusi Tetuan Shaharudinali Azfarazmi & Co pada 8 Februari lalu dengan menamakan Hans Isaac atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac sebagai defendan tunggal.

Saman itu berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa bagi mendapatkan dana untuk syarikat produksi, Excellent Pictures Sdn Bhd.

Eizlan mendakwa Hans Isaac menyiarkan perkataan fitnah terhadapnya melalui sebuah mesej kenyataan di media sosial di dalam satu kumpulan WhatsApp bernama “Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).”

Eizlan mendakwa, kenyataan fitnah di dalam WhatsApp itu kemudian turut tersebar luas ke media sosial lain memandangkan plaintif adalah seorang seniman, pelakon dan artis terkenal.

Plaintif menuntut permohonan maaf daripada defendan dan perintah injunksi melarang defendan, ejen serta pekerjanya sama ada secara langsung atau sebaliknya, daripada mengeluarkan kenyataan yang sama atau fitnah.

Plaintif turut menuntut ganti rugi, faedah, kos, perintah atau relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Hans Isaac menerusi penyataan pembelaan difailkan pada 17 Mac lalu berkata, dakwaan plaintif bahawa beliau tiada kena mengena dengan Excellent Pictures adalah tidak benar. – MalaysiaGazette