Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang bercakap pada Sesi Wawancara Khas Media sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke - 88 di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. Foto FARHAN MAHAMAD, 13 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan bertujuan menjadi satu ketumbukan yang mahu peperangan, sewenang-wenangnya menyerang negara lain atau membazirkan perolehan aset utama negara.

Sebaliknya, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM adalah satu angkatan yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara keamanan dan kedaulatan negara dari sebarang ancaman musuh.

“Pembangunan keupayaan ini penting terutamanya dalam mendepani persekitaran keselamatan yang tidak menentu serta keperluan meningkatkan keupayaan pertahan sebagai angkatan masa hadapan yang kredibel sebagaimana yang dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan,” ujarnya ketika sesi wawancara khas media sempena Hari ATM ke-88 di Wisma Perwira di sini hari ini.

Dalam pada itu, Affendi juga mengumumkan Sambutan Hari ATM ke-88 tahun ini akan diadakan di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 22 September ini.

Sambutan tersebut dirancang secara fizikal dengan pelaksanaannya mengikut pematuhan prosedur operasi standard yang terkawal iaitu melibatkan acara demonstrasi keupayaan aset dan kompentensi ATM serta perbarisan tempur.

Menurut Affendi, seramai 2,500 pegawai dan anggota tentera dijangka akan menjayakan kedua-dua acara tersebut.

“Seperti mana pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan yang lalu, acara ini juga tidak melibatkan kehadiran penonton sebagai kawalan dalam memastikan ia dapat diadakan dengan lancar dan mengawal sebarang kebarangkalian penularan wabak Covid-19.

“Kita guna pakai konsep gelembung apabila hanya anggota tentera sahaja yang terlibat, kesemua mereka ini juga sudah lengkap suntikan vaksinasi selain akan menjalani ujian saringan Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun jelas Affendi, sambutan Hari ATM itu boleh ditonton secara langsung oleh orang ramai menerusi saluran RTM bermula pada pukul 9.30 pagi.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan harapannya sempena Hari ATM dengan menekankan kepentingan masyarakat perlu memperkuatkan semangat patriotisme dan nasionalisme dengan membudayakan nilai sense of belonging dan sense of ownership.

Katanya lagi, melalui pengukuhan semangat dan budaya, kesatuan antara rakyat dan ATM akan dapat dibentuk sekali gus hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur tercapai.

“Kita tahu impak pandemik Covid-19 turut memberi kesan terhadap psikologi manusia, jadi apa yang kita perlukan adalah dengan meniup semula semangat kepada petugas barisan hadapan ini.

“Satu perkara lagi yang penting adalah untuk kita mengingati dan memberi penghormatan kepada our fallen soldiers, bahawa pengorbanan mereka itu bukan sia-sia dan memperlihatkan betapa suci dan pentingnya pengorbanan anggota tentera sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette