KUALA LUMPUR – Bank Rakyat hari ini melancarkan Program Rintis Bank Rakyat UNIpreneur dengan kerjasama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan bagi membantu usahawan siswa daripada golongan asnaf bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Menerusi program rintis ini, 100 usahawan siswa asnaf yang berpotensi daripada 10 IPT tempatan diberi suntikan dana berjumlah RM200,000.

Selain itu, peserta juga menerima latihan, bimbingan dan pemantauan selama enam bulan mulai September 2021 sehingga Februari 2022.

Menurut Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar, Program Rintis Bank Rakyat UNIpreneur merupakan program yang dirancang selari dengan rangka kerja Kelestarian Bank Rakyat, dan menjadi tanggungjawab sosial Bank Rakyat sebagai organisasi prihatin dengan memberi keutamaan kepada kemajuan ekonomi yang berterusan dan mampan.

“Program ini juga bergerak seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui pemeliharaan kekayaan, taraf kehidupan dan intelek serta aspirasi Pengantara Berasaskan Nilai (VBI) Bank Negara yang mengukuhkan peranan dan impak institusi perbankan Islam terhadap ekosistem kewangan negara”, tambah beliau.

Peserta yang terpilih untuk menyertai program ini akan digilap untuk menjadi usahawan muda yang kreatif dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berinovasi, serta meningkatkan taraf hidup mereka dan juga sehingga mampu membina peluang pekerjaan.

Selain membangunkan ekonomi golongan asnaf, antara matlamat lain program ini antaranya menjadikan keusahawanan sebagai pilihan kerjaya selepas tamat pengajian seterusnya membantu mengurangkan kadar pengangguran graduan, bahkan membentuk usahawan dalam industri kecil dan sederhana.

Sebanyak 10 IPT tempatan yang terlibat sebagai perintis program ini ialah Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Management and Science University, Widad University College, Asia e-University, dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Program Rintis Bank Rakyat UNIpreneur merupakan program yang dilaksanakan setelah melihat kejayaan program RAKYATpreneur 2.0 yang dilancarkan pada Julai yang lalu serta Program Rintis RAKYATpreneur pada Disember tahun lalu.

Program Rintis RAKYATpreneur telah mencatat sebanyak 10 hingga 15 peratus peningkatan dari segi keuntungan perniagaan 20 peserta dengan suntikan dana keseluruhan sebanyak RM100,000 dan program keusahawanan Bank Rakyat ini diperluaskan kepada usahawan siswa di IPT tempatan. – MalaysiaGazette