COVID-19 merupakan jangkitan penyakit yang berpunca daripada virus corona dan
penularan virus ini telah memberi impak yang besar dalam pelbagai segmen kehidupan
masyarakat. Semasa gelombang pertama pandemik Covid-19, amalan kesihatan pergigian di seluruh dunia terpaksa dihentikan selama dua hingga tiga bulan, menyebabkan semua janji temu pergigian perlu ditangguhkan atau dibatalkan kecuali untuk rawatan kecemasan.
Tidak terkecuali, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan bermula 18 Mac tahun lepas menyebabkan kebanyakan klinik gigi terutamanya klinik di sektor kerajaan masih tidak dapat dibuka sepenuhnya seperti biasa. Malah, perkhidmatan yang ditawarkan hanya mengutamakan pesakit yang datang untuk rawatan kecemasan dan terpilih sahaja. Ini bertujuan untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19, lebih-lebih lagi jika rawatan tersebut melibatkan pengeluaran aerosol.
Rawatan pendakap gigi yang dikenali sebagai rawatan braces atau ortodontik merupakan
salah satu rawatan pergigian yang sangat popular. Ianya berfungsi untuk melurus dan
menyusun gigi yang tidak berada di tempat sepatutnya bagi mendapatkan barisan gigi yang tersusun cantik pada arca rahang agar pesakit boleh makan, bertutur dan senyum sekali gus memberikan keyakinan dan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup. Rawatan ini biasanya dilakukan sama ada menggunakan aplians tetap atau aplians boleh tanggal.
Namun, rawatan ini bukanlah dikategorikan sebagai rawatan kecemasan, tetapi disenaraikan sebagai rawatan estetik dan elektif, menyebabkan janji temu pesakit yang menerima rawatan pendakap gigi terpaksa dihadkan semasa tempoh PKP. Rawatan pendakap gigi kebiasaannya mengambil masa lebih kurang 18 hingga 30 bulan untuk selesai, bergantung kepada keadaan gigi pesakit dan juga disiplin pesakit dalam menepati jadual rawatan susulan. Kebiasaanya, pesakit perlu datang ke klinik gigi sebulan sekali untuk rawatan susulan.
Namun, disebabkan oleh kekangan PKP, rutin rawatan untuk pesakit yang memakai pendakap gigi ini menjadi terjejas dan terganggu. Maka, tidaklah mustahil sekiranya pesakit akan mengalami masalah berkaitan dengan pendakap gigi semasa dalam tempoh PKP. Terdapat beberapa keadaan kecemasan yang mungkin berlaku dalam kalangan pesakit yang memakai pendakap gigi. Antara kecemasan yang sering dilaporkan adalah alat pendakap gigi tercabut, pendakap gigi patah, wayar tercucuk ke dalam gusi, bibir dan/atau pipi yang boleh menyebabkan kerengsaan, luka dan pedih.
Keadaan ini boleh menimbulkan rasa tidak selesa bagi sesetengah pesakit malahan boleh menyebabkan kesakitan, kegusaran dan keresahan yang berpanjangan jika tidak dirawat dengan kadar segera. Perkara pertama yang harus dititik beratkan dalam menangani kecemasan pendakap gigi ialah pesakit haruslah menelefon ke klinik yang berkaitan atau berdekatan bagi melaporkan masalah yang dihadapi. Ini bagi mengenal pasti sama ada ianya merupakan kecemasan sebenar yang perlu ditangani dengan segera atau tidak, terutama jika ianya berlaku semasa dalam tempoh PKP.
Dalam hal ini, sebelum mereka dibenarkan datang ke klinik untuk pemeriksaan lanjut, kaedah secara maya menggunakan foto, video dan panggilan video boleh dipertimbangkan bagi menilai masalah yang dilaporkan. Susulan dari konsultasi tersebut, arahan untuk menangani masalah yang dihadapi boleh diberikan kepada pesakit secara maya. Sebagai contoh, jika wayar braces didapati tajam sehingga mencucuk pipi dalam atau mukosa lembut, lilin braces boleh digunakan untuk diletakkan pada hujung wayar yang tajam tersebut buat sementara waktu sementara menunggu berakhirnya tempoh PKP.
Sekiranya pesakit tidak mempunyai bekalan lilin braces di rumah, pesakit boleh membelinya di klinik pergigian swasta atau secara atas talian. Ada juga saranan untuk pesakit memotong sendiri wayar menggunakan penyepit kuku, namun perkara ini mestilah dilakukan dengan bimbingan dari pakar untuk mengelakkan sebarang kecederaan. Selain itu, amatlah penting perkara ini dilakukan di bawah penyeliaan pakar yang bertauliah bagi mengelakkan sebarang risiko tindakan undang-undang kelak sekiranya pengurusan kepada masalah yang dilaporkan tidak dilakukan sebagaimana sepatutnya. Jika ada pesakit yang menggunakan aplians yang memerlukan pengaktifan sendiri di rumah, adalah disarankan agar prosedur ini dihentikan dahulu buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.
Selain itu, amalan penjagaan kebersihan gigi dan mulut hendaklah dilakukan dengan
sempurna bagi mengelakkan berlakunya kecemasan berkaitan dengan pendakap gigi,
terutamanya di musim PKP. Ini kerana pendakap gigi boleh memerangkap sisa makanan dan mengumpulkan plak sekiranya kebersihan mulut tidak dijaga dengan baik. Dalam hal ini, pesakit disarankan memberus gigi dua kali sehari menggunakan ubat gigi berflourida dan berus gigi khas untuk pendakap gigi. Pesakit juga dinasihatkan menggunakan flos dan ubat kumur sebagai rutin pembersihan harian bagi mengelakkan risiko berlakunya masalah-masalah lain seperti kerosakan gigi (gigi erlubang) dan gusi menjadi merah, bengkak dan berdarah. Pada masa yang sama, pesakit tidak digalakkan untuk memakan makanan melekit dikhuatiri ianya melekat pada pendakap gigi dan susah untuk dibersihkan. Mereka juga dinasihatkan untuk mengelak dari memakan makanan yang keras dan kenyal yang boleh menyebabkan pendakap gigi tertanggal, dawai patah dan gigi juga boleh menjadi trauma dan sakit.
Sebagai kesimpulan, penjagaan pendakap gigi haruslah dilakukan dengan betul dan
sebaiknya oleh pesakit terutamanya di musim PKP, bagi mengelakkan perkara yang tidak
diingini terjadi seterusnya menyebabkan berlakunya kes kecemasan pendakap gigi. Selain itu, kaedah pencegahan perlu dititikberatkan oleh pesakit bagi mengelakkan sebarang kecemasan pendakap gigi daripada berlaku atau berulang pada masa akan datang. Ini bagi memastikan pergerakan pesakit keluar dari rumah untuk mendapatkan rawatan dapat dikurangkan. Dalam hal ini, pesakit hanya perlu datang ke klinik gigi pada masa yang ditetapkan sahaja sebagai langkah kawalan dan pencegahan jangkitan virus Covid-19, sebagaimana pepatah Arab dan Melayu ada menyebut ‘mencegah adalah lebih baik daripada mengubati’.
OLEH: Dr Umi Mardhiyyah Mat Ali
Pensyarah Ortodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM &
Prof Madya Dr Norhayati Luddin
Pensyarah Prostodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM