GEORGE TOWN – Polis kini masih dalam proses siasatan bagi mengenalpasti sama ada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melanggar perintah kuarantin kendiri atau sebaliknya.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, setakat ini 10 saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan.
“Mereka yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah pengadu, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN), Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut, Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara serta enam pengadu yang membuat laporan.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti sekiranya ada pelanggaran seperti yang didakwa atau tidak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.
MalaysiaGazette semalam melaporkan, Polis Pulau Pinang kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ingkar arahan kuarantin kendiri dengan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pada 2 September lalu. – MalaysiaGazette