Muzakir (kanan) menyerahkan memorandum kepada kepada Setiausaha Sulit Kepada YDP Negeri Mohd Abdul Rahman Ismail d sini hari ini.

GEORGE TOWN – Kira-kira 2,300 pelelong tradisi di seluruh negara memohon agar Kerajaan Persekutuan mengkaji semula sistem e-lelong yang didakwa menjejaskan pendapatan mereka sejak tahun 2020.

Ahli Jawatankuasa Bertindak yang mewakili semua pertubuhan pelelong negeri, Muzakir Mansor berkata, sistem e-lelong yang dilancarkan secara online pada awal Januari tahun lalu itu juga perlu ditambah baik bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pelelong tradisi dengan pihak mahkamah dan defendan (pemilik hartanah).

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Pelelong Pulau Pinang berkata, penamatan khidmat pelelong ekoran pelaksanaan sistem itu juga akan mewujudkan monopoli oleh syarikat yang merupakan panel pelelong bagi pihak bank.

Muzakir.

“Walaupun sistem e-lelong yang dilakukan secara online itu dilihat sebagai pemudah cara, namun ia dibimbangi mendatangkan kesulitan buat defendan mencari pembida bagi hartanah milik mereka untuk dilelong jika capaian internet di sesebuah kawasan tidak memuaskan.

“Ia juga mewujudkan industri tidak seimbang iaitu semua pelelong dilantik Mahkamah Tinggi sebelum ini melalui proses penggiliran namun kini ia dimonopoli oleh 10 syarikat pelelong berkapasiti besar,” katanya kepada media ketika ditemui di Hotel E&O, Lebuh Farquhar di sini, hari ini.

Terdahulu, satu memorandum mengenai Penambahbaikan Sistem E-Lelong dihantar kepada Yang Dipertua (YDP) Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Penyerahan memorandum dibuat bagi membolehkan YDP Negeri memanjangkan permintaan mereka kepada pihak Kerajaan Persekutuan.

Memorandum itu diserahkan Muzakir kepada kepada Setiausaha Sulit Kepada YDP Negeri Mohd Abdul Rahman Ismail.

Mengulas lanjut, Muzakir berkata, kehidupan pelelong tradisi terjejas apabila kehilangan pendapatan sekitar RM11 juta yang mana seorang pelelong mampu meraih pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan.

“Kami tidak menolak sistem e-lelong ini namun kami mahu menjadi sebahagian daripada sistem itu.

“Sehubungan itu, kami berharap menerusi penyerahan memorandum ini membolehkan YDP Negeri dapat memanjangkan perkara berkenaan kepada pihak berkaitan khususnya Perdana Menteri, Parlimen dan serta Ketua Hakim Negara bagi membolehkan pelelong dalam sistem e-lelong melakukan kerja pra lelongan sebelum ia diteruskan secara online.

“Kami juga memohon perhatian daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memandangkan ini merupakan kali ketiga kami kemukakan cadangan mengenai penambahbaikan ini sejak 2017,” kata beliau.

Sistem e-lelong, yang pertama di Malaysia dibangunkan pada 1 Januari 2020 bagi mengendalikan lelongan awam secara dalam talian mengikut waktu sebenar.

Ia mampu meningkatkan peluang orang awam memiliki aset tetap khususnya rumah kediaman pada nilai sebenar tanpa manipulasi harga. – MalaysiaGazette