Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin tidak menafikan sektor kesihatan negara ini mengalami  kekurangan doktor pakar hingga mengakibatkan ada pesakit terpaksa menunggu satu tempoh masa tertentu untuk mendapatkan rawatan susulan.

Menteri Kesihatan itu berharap Kementerian Kewangan (MOF) dapat memberikan komitmen supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat memberikan tajaan kepada doktor kontrak  melanjutkan pengajian supaya dapat memenuhi keperluan pakar sedia ada.

Terdahulu Khairy memaklumkan, seramai 13,000 doktor pakar sedang berkhidmat di sektor perubatan awam dan swasta.

Tetapi pada tahun 2030, keperluan doktor pakar akan meningkat kepada 28,000 orang untuk merawat golongan warga emas dan penyakit tidak berjangkit.

“Sekarang ini kita tidak kekurangan doktor siswazah tetapi apa yang kita perlukan doktor pakar. Kekurangan pakar ini menyebabkan pesakit perlu menunggu.

“Oleh sebab itu, MOF harus memberi komitmen supaya kita dapat melatih doktor-doktor kontrak menjadi pakar demi memenuhi keperluan 10 tahun akan datang,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai (PKR) tentang masa depan doktor kontrak yang sehingga kini masih belum diserap dalam penjawatan tetap.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, KKM mahu memberi kemudahan untuk doktor kontrak mendapatkan tajaan latihan persekutuan di insititusi pengajian awam.

Dengan cara ini, jelasnya, doktor kontrak akan dapat menjadi doktor pakar.

“Berkenaan dengan masa depan mereka, saya amat prihatin kedudukan dan juga keadaan doktor kontrak.

“Sebab itu kita bukan hanya melihat lanjutan tempoh kontrak yang telah dipersetujui kerajaan tetapi penyelesaian peluang mendapat tajaan latihan persekutuan supaya mereka dapat melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana,” ujar beliau.

Menurut Khairy, setakat ini syarat berkenaan hanya diberikan kepada pegawai tetap.

“Sekarang ini kita ingin memberi kemudahan yang sama kepada doktor kontrak supaya mereka layak memohon hadiah latihan persekutuan, sekali gus  membolehkan mereka mengikuti pengajian kepakaran di institusi pengajian awam,” katanya lagi.- MalaysiaGazette