Gambar Hiasan

BARU-baru ini saya perhatikan banyak “serangan” ditujukan kepada agensi penguat kuasa cukai berikutan tularnya satu laporan polis yang menuduh agensi penguat kuasa cukai tersebut melakukan salah guna kuasa dan bertindak mengikut telunjuk pemimpin politik tertentu.

Perkara ini mendorong saya untuk mengikuti isu ini dengan lebih dekat dan mencari punca mengapa ia timbul sekali gus telah meningkatkan suhu politik negara kita yang sebenarnya sudah sedikit reda selepas pelantikan Perdana Menteri baharu.

Namun tulisan ini tidak berminat untuk mengulas dakwaan dan tuduhan-tuduhan yang dicatatkan dalam laporan polis tersebut kerana biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan yang telus.

Sebaliknya tulisan ini lebih kepada mahu melihat sebab musabab serta kemungkinan mengapa agensi penguat kuasa cukai yang sedang hangat diperkatakan ini telah mengenakan jumlah cukai dan denda yang tinggi kepada seseorang individu sehingga menjangkau amaun berbilion ringgit.

Saya percaya bahawa semuanya bermula dengan “derma politik” yang masuk ke akaun peribadi individu tersebut. Nilainya bukan seringgit atau dua ringgit tetapi nilainya juga menjangkau berbilion ringgit.

Hujah secara konsisten menyatakan bahawa wang tersebut adalah wang derma politik daripada luar negara dan digunakan untuk kegiatan politik serta kebajikan rakyat yang sepatutnya menikmati pengecualian cukai menurut undang-undang negara.

Namun agensi penguat kuasa cukai dilihat tidak dapat menerima hujah tersebut kerana dalam peruntukan undang-undang jelas menyatakan bahawa derma politik hanya akan menikmati pengecualian cukai sekiranya ia dikreditkan ke akaun parti politik dan bukannya masuk ke akaun peribadi.

Pandangan ini boleh kita sandarkan berdasarkan jawapan bertulis Menteri Kewangan mengenai isu derma politik di Dewan Rakyat pada 21 Julai 2020 yang lalu. Dalam jawapan bertulis tersebut Menteri Kewangan menyatakan bahawa secara dasarnya, semua pendapatan yang diterima oleh persatuan (parti) politik adalah dikecualikan daripada cukai pendapatan. Pengecualian ini berkuat kuasa sejak 20 tahun lalu iaitu mulai Tahun Taksiran 2001. Perintah pengecualian ini diberikan oleh Menteri Kewangan berdasarkan kepada seksyen 127(3)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Namun, dalam jawapan bertulis itu juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa, pengecualian tersebut hanyalah bagi sumbangan yang diberikan kepada parti politik sahaja dan tidak boleh diberikan untuk dana politik yang disumbangkan kepada mana-mana pihak daripada parti politik.

Ini bermakna, fakta yang menunjukkan “derma politik” tersebut masuk ke akaun peribadi dan bukannya masuk ke akaun rasmi parti politik beliau telah menyebabkan ia tidak dapat dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan. Sebaliknya, ia dikira sebagai pendapatan yang layak dikenakan cukai terhadap beliau.

Selain itu, bukan semua wang dari luar negara yang diremitkan ke dalam negara kita layak mendapat pengecualian cukai. Hal ini juga dijelaskan oleh Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis beliau di parlimen pada tahun lepas.

Fakta yang selalu dipertimbangkan dalam menentukan sama ada pendapatan dari luar negara itu dikecualikan cukai atau tidak ialah kewujudan aktiviti yang dijalankan oleh pembayar cukai di luar negara yang menghasilkan pendapatan yang diterima.

Misalnya, jika aktiviti perkhidmatan diberikan di luar negara dan pendapatan daripada perkhidmatan tersebut diremitkan kembali ke Malaysia, pendapatan yang diremitkan itu dikecualikan di bawah perenggan 28 Jadual 6 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dalam hal ini, pembayar cukai mesti berjaya membuktikan bahawa wang yang diremitkan ke dalam negara itu adalah pendapatan yang dijana daripada aktiviti yang beliau jalankan di luar negara. Jika tiada bukti atau keterangan yang boleh menyokong sumber pendapatannya di luar negara, maka pembayar cukai tersebut tidak layak mendapat pengecualian cukai atas wang yang diremitkan itu.

Maka jika menurut penjelasan Menteri Kewangan dalam Dewan Rakyat ini, tidak hairanlah jumlah cukai dan penalti yang telah dikenakan kepada individu tersebut amat tinggi kerana ia dikira berdasarkan “pendapatan yang layak dikenakan cukai” mengikut undang-undang negara.

Dalam hal ini, pada pandangan saya sepatutnya rakyat gembira apabila agensi penguat kuasa cukai melayan pembayar cukai secara sama rata tanpa pilih kasih. Baik mereka itu rakyat marhaen mahu pun seseorang yang berprofil tinggi.

Bagi pembayar cukai yang tidak bersetuju dengan cukai yang dikenakan, mereka masih mempunyai peluang untuk membantah atau merayu taksiran cukai tersebut.  Tetapi mereka mesti memastikan dokumen lengkap dan bukti-bukti yang kukuh dikemukakan kepada agensi penguat kuasa cukai atau pihak mahkamah. Bagi kes yang dibawa ke mahkamah, biarlah mahkamah dan hakim yang bijaksana yang menentukannya.

 

–Pembayar Cukai