KUALA LANGAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) diperkenalkan pada 1971 dalam suasana kerajaan ketika itu berdepan kebangkitan suara mahasiswa termasuk dirinya yang lantang memperjuangkan isu kemiskinan dan rasuah.
Anwar berkata, sejarah AUKU perlu difahami dalam konteks zamannya termasuk bagaimana undang-undang itu digunakan untuk mengawal gerakan mahasiswa yang semakin berani menyuarakan isu rakyat.
“Kalau sudah tahu sejarahnya, Akta Universiti diperkenalkan untuk kawal Anwar Ibrahim. Sebab lepas itu banyak kita tunjuk perasaan soal kemiskinan, soal rasuah maka dikawal dengan Akta Universiti,” katanya berucap merasmikan Himpunan Anam Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026 di sini hari ini.

Anwar berkata, keadaan itu sepatutnya menjadi asas kepada kerajaan hari ini untuk melakukan perubahan terhadap undang-undang berkaitan mahasiswa terutama apabila golongan muda berusia 18 tahun ke atas sudah dianggap dewasa dan mampu membentuk pemikiran sendiri.
“Sekarang si Anwar itu sudah jadi Perdana Menteri, tukarlah undang-undang. Nak tukar sedikit-sedikit, ubah suai. Saya tak setuju.
“Bagi mereka, anak-anak kebanyakan umur 18 tahun sudah dewasa, matang. Tak akan melakukan kesilapan? Memang akan melakukan kesilapan. Didiklah, tegurlah.
“Tak ada undang-undang pun, ada undang-undang, undang-undang yang ada pakailah. Mengapa nak ditambah undang-undang untuk anak-anak mahasiswa?” soalnya.
Menurut Anwar, AUKU perlu dibatalkan secara menyeluruh manakala perkara berkaitan pengurusan universiti seperti kuasa senat, lembaga pengajian dan struktur pentadbiran boleh dikawal melalui peruntukan khusus.
“Saya kata, saya nak tengok akta itu. Pertamanya batalkan keseluruhannya. Kalau ada keperluan akta pengurusan universiti, kuasa senat, kuasa board of studies, itu soal lain.
“Tapi jangan ganggu dan beri ruang kepada mahasiswa,” tegasnya.
Anwar turut memberi jaminan kerajaan akan membawa pindaan atau rang undang-undang berkaitan perkara itu ke Parlimen tahun ini.
“Saya masih percaya dan Insya-Allah tahun ini juga kita akan bentangkan rang undang-undang itu dan luluskan di Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan anak muda supaya tidak terperangkap dalam budaya perdebatan yang hanya berasaskan sentimen, kebencian dan kepentingan kelompok.
Beliau menyifatkan antara masalah terbesar masyarakat hari ini ialah pertembungan pandangan yang tidak disandarkan kepada ilmu.
“Setuju dengan aku, Islam. Tidak setuju dengan aku, bukan Islam,” katanya sambil menegaskan, pendekatan sedemikian hanya akan melahirkan pertembungan dangkal.
Menurut beliau, perdebatan mengenai Islam, politik dan masa depan negara tidak seharusnya berubah menjadi pertandingan siapa paling kuat menghukum pihak lain.
“Yang bertempur sekarang bukan berdasarkan ilmu. Bertempur dalam dunia yang dangkal, motifnya benci ataupun mahu pertahankan kelompok sendiri,” katanya.
Anwar berkata, umat Islam perlu membina kekuatan baharu berasaskan ilmu, kefahaman dan kebijaksanaan bagi menghadapi cabaran pasca merdeka yang jauh lebih kompleks berbanding perjuangan menentang penjajahan secara fizikal.
Beliau memetik pemikiran sarjana Islam, Muhammad al-Ghazali yang melihat penjajahan bukan hanya sebagai penaklukan oleh kuasa asing tetapi turut melibatkan penjajahan pemikiran dan jiwa.
Katanya, cabaran tersebut menjadikan proses pembinaan masyarakat berilmu sebagai perjuangan yang berterusan, termasuk dalam kalangan mahasiswa.
Anwar turut mengingatkan anak muda agar tidak menjadikan perbezaan pandangan sebagai alasan untuk bermusuhan.
Sebaliknya, katanya, perbezaan pendapat perlu disertai adab, hujah dan ilmu.
Beliau turut memetik gagasan Edward Said yang mengkritik kecenderungan melihat konflik dunia sebagai pertembungan antara tamadun semata-mata, sedangkan masalah sebenar yang berlaku ialah clash of ignorance atau pertembungan kejahilan.
“Yang bertempur ini sama-sama jahil, sama-sama dangkal ilmunya,” katanya.
Menurut Anwar, anak muda tidak seharusnya mudah terheret dalam polemik politik di media sosial yang hanya menggalakkan budaya mencaci, melabel dan menghukum tanpa memahami konteks sesuatu isu.
Beliau berkata, kekuatan generasi muda tidak terletak pada kemampuan mereka menguasai perdebatan semata-mata sebaliknya pada keupayaan memahami sejarah, agama, ilmu dan realiti masyarakat sebelum membuat kesimpulan.
Anwar turut menegaskan, perjuangan membangunkan negara tidak seharusnya terhenti pada slogan agama atau politik kelompok.
“Persoalannya, kita nak pertahankan Islam atau nak pertahankan kumpulan kita?” soalnya lagi.
Dalam konteks Malaysia, Anwar berkata, kekayaan dan sumber negara sepatutnya diurus dengan amanah bagi memastikan generasi muda mendapat pendidikan dan kesihatan yang lebih baik.
“Sebagai contoh isu Tabung Haji serta pengurusan agensi berkaitan Bumiputera sebagai perkara yang wajar dibincangkan secara serius berasaskan fakta bukan dijadikan sekadar bahan polemik politik,” katanya.
Anwar turut mengingatkan politik yang berteraskan Islam sepatutnya menampilkan akhlak, keadilan, amanah dan keseimbangan, bukannya kebencian dan permusuhan.
Beliau berkata, prinsip wasatiyyah menuntut keseimbangan antara iman, ilmu, akal, hati, kehidupan dunia dan akhirat serta aspek material dan spiritual.
“Yang menentukan anak-anak muda bukan sumpah seranah orang politik yang bebal. Anak-anak muda menentukan berdasarkan kefahaman ilmu,” katanya.
Anwar yakin Malaysia mempunyai potensi besar untuk melahirkan generasi muda yang mampu berfikir secara matang, berani bertanya dan berbeza pandangan tanpa kehilangan adab.
“Saya tidak mahu anak-anak takut untuk bertanya. Tanya dengan sopan, beradab. Setuju? Tak setuju pun mungkin ada sebab,” katanya.
Beliau berkata, universiti sepatutnya menjadi ruang untuk mahasiswa membina pemikiran, menguji hujah dan belajar daripada kesilapan bukannya institusi yang menanam ketakutan dalam kalangan anak muda.
“Pengalaman peribadi saya sebagai aktivis mahasiswa yang pernah melalui tempoh panjang dalam penjara, namun pengalaman tersebut bukan sebagai kekalahan,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata, masa yang dilalui dalam penjara dimanfaatkan untuk membaca, menelaah al-Quran dan memperkukuh pemikiran.
“Saya tidak anggap kalah. Saya manfaatkan waktu di penjara,” katanya.
Beliau kemudian menyeru anak muda agar menggunakan peluang yang ada untuk menimba ilmu dan membina masa depan negara dengan pemikiran yang lebih matang.
“Bila saya tengok anak-anak muda, saya rasa ada harapan. Saya nampak potensinya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















