Orang ramai beratur bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Vaksin Selangor (SelVAX) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Damansara, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 OGOS 2021. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor akan meneruskan Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak susulan mendapat sambutan positif dalam kalangan penduduk negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, mereka yang menerima manfaat terdiri daripada golongan warga emas dan mereka yang belum divaksin kerana tidak mempunyai pengangkutan serta warga asing.

“Sepanjang minggu ini, Kerajaan Selangor melaksanakan Program Vaksin Selangor (SelVAX) Bergerak ataupun SelVAX Mobile di beberapa kawasan.

“Sebanyak 50,000 dos diperuntukkan bagi menjayakan program ini. Alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan dan akan diteruskan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Untuk rekod, Selvax bergerak mula dilaksanakan pada 13 September lepas dengan memperuntukkan sebanyak 50,000 dos vaksin.

Langkah itu diambil dalam memastikan tiada rakyat di negeri berkenaan keciciran dalam menerima suntikan pelalian.

Inisiatif tersebut membabitkan 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai permulaan dan bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu. – MalaysiaGazette