Superintendent Ashari Abu Samah. Avaa Vanja husband slaps daughter domestic violence Kampong Pisang Bersiri-siri
Superintendent Ashari Abu Samah

KUALA LUMPUR – Proses siasatan ke atas penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice sudah lengkap dan tiada keperluan untuk polis memanggilnya semula.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis juga sudah melengkapkan kertas siasatan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang membabitkan laporan polis yang dibuat Ustaz Ebit Lew pada Julai lalu.

“Saya dimaklumkan Caprice baru pulang ke Malaysia tapi kita (polis) tidak perlu panggil dia semula untuk mengambil keterangan kerana sebelum ini kita sudah e-mel soalan yang perlu dijawabnya.

“Dia sudah menjawab semua soalan diberikan semasa berada di luar negara dan kertas siasatan pun sudah lengkap.

“Jadi tidak keperluan lagi untuk panggil semula dan rakam keterangan secara bersemuka kecuali ada arahan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelupusan Barang Kes Perjudian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Majistret Mahkamah Jenayah Kuala Lumpur, Mohamad Fared Abdul Latif dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias.

Pada penhujung Julai lalu, Ebit Lew membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Dang Wangi dengan menamakan Caprice dan Mohamad Nadir dalam laporan atas dakwaan memfitnah misi bantuan pendakwah itu ke Gaza, Palastin.

Mengulas lanjut, Ashari menambah, kertas siasatan telah dirujuk ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan diteliti Bukit Aman kerana ia membabitkan kes berprofil tinggi.

Tambah beliau, pihaknya sedang menunggu arahan lanjut Bukit Aman untuk menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette