KUALA LUMPUR – Semua pengguna lebuh raya yang telah melengkapkan suntikan vaksin kini boleh singgah untuk makan di premis perniagaan di tujuh pusat Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah tertentu, susulan beberapa negeri kini telah beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

Ketua Pegawai Komersial PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Christine Liew berkata lokasi yang mula dibuka hari ini adalah Restoran Jejantas Sungai Buloh, Hentian Sebelah Simpang Pulai (Arah Selatan), Mambau (Arah Timur dan Arah Barat); manakala Hentian Sebelah Sungai Buloh (Arah Selatan) pula mula dibuka esok, dan Dengkil (Arah Utara serta Arah Selatan) mula beroperasi pada Sabtu.

Beliau berkata, lebih 80 peratus rakan niaga syarikat itu di R&R telah menerima vaksin sepenuhya, sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) vaksinasi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Dalam minggu-minggu akan datang, kita akan umumkan lebih banyak medan selera R&R sedia dikunjungi untuk pengguna lebuh raya menjamu selera, apabila semua rakan niaga kami menerima status vaksinasi penuh dalam tempoh 14 hari.

“Dengan semangat ‘Kita Jaga Kita’, kami merayu pelanggan kami yang divaksin sepenuhnya agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan MKN, dengan menunjukkan status vaksinasi MySejahtera COVID-19 masing-masing untuk verifikasi semasa memesan makanan di premis yang dikendalikan oleh rakan niaga kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Pelanggan yang menerima vaksin sepenuhnya akan diberikan pelekat hijau daripada rakan niaga kami, bagi membenarkan mereka menikmati kemudahan menjamu selera di medan selera yang disediakan,” tambahnya.

Pelanggan lebuh raya yang belum diberi vaksin sepenuhnya boleh memilih untuk mengambil kesempatan daripada R&R atau meminimumkan kontak dengan menggunakan fungsi Pre-Order PLUS App percuma atau melalui https://orderdisini.plus.com.my/ dari rakan niaga yang mengambil bahagian dan pengusaha gerai. – MalaysiaGazette