Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang merampas 14 set bubu naga di dua lokasi satu batu nautika barat laut Sungai Air Hitam di sini semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang merampas 14 set bubu naga di dua lokasi satu batu nautika barat laut Sungai Air Hitam di sini semalam.

Bubu naga itu dikesan ketika anggota APMM melakukan rondaan menerusi Ops Benteng/Ops Pertiwi kira-kira pukul 5.20 petang.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pemeriksaan di kedua-dua lokasi menemukan sebanyak 14 bubu naga.

“Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM1,860 dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban bagi tindakan lanjut.

“Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Abd Razak berkata, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

“Denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika disabit kesalahan,” kata beliau. – MalaysiaGazette