Temubual eksklusif bersama Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di UBN Apartment, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR –  Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz melihat bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai pemimpin muda yang gagal.

Pandangan itu dilontar oleh Nazri dalam temubual bersama MalaysiaGazette untuk program Owh!MG Khamis lalu di kediamannya.

“Saya tengok macam Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada saya dia gagal. Belum apa-apa lagi dah lompat sana, lompat sini. Kalau dulu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, duduklah bersama Tun. Mengapa lari daripada Bersatu kemudian jadi bebas?’ Katanya.

Bekas Menteri Pelancongan itu juga menyifatkan Ahli Parlimen Muar tidak menunjukkan contoh yang baik sedangkan beliau telah diberikan peluang.

Katanya, tindakan Syed Saddiq berbeza dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang sangat konsisten.

“Saya bangga dengan beliau yang kekal, macam itulah. Tapi yang lain tak ada kejayaan,” katanya.

VIDEO PENUH OWH!MG 

https://www.youtube.com/watch?v=WP7YEOxMLx4

Mengulas lanjut mengenai pembabitan golongan muda dalam politik Nazri mengakui perlu ada gandingan antara generasi baharu dengan orang lama baik dalam politik mahu pun pentadbiran kerajaan.

Katanya, pengalaman juga amat penting dan bagi orang muda mereka mesti naik secara berperingkat sebagaimana dalam UMNO di mana pemimpin lama membimbing pemimpin muda untuk sama-sama berjaya.

“Mesti bergandingan mana boleh semua orang muda. Kita kena ingat, nak cakap pasal pengalaman, tak akan ada kalau tak melalui sepak terajang politik.

“Jadi kita kena bagi ruang kepada yang muda untuk merasai asam garam politik. Sama macam berjalan, kena merangkak dulu, lepas tu berdiri kemudian jatuh, berdiri semula kemudian baru berjalan.

“Itu tak boleh elak, kerana lumrah alam semula jadi. Bagi saya, yang penting gandingan. Tak semestinya orang tua kena pergi.

“Masa saya jadi menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Ghaffar Baba ada, Tun Abdullah Badawi, semua ada. Maknanya, waktu saya naik, saya mendapat bimbingan daripada yang tua.

“Pada saya, UMNO kalau nak maju, pastikan ada kesinambungan dan gandingan. Sebab itu, saya mengundurkan diri,” katanya.

Nazri turut ditanya adakah pengumuman yang beliau akan bersara dari politik dan tidak bertanding pada PRU15 isyarat supaya pemimpin lama juga mengambil tindakan yang sama.

“Saya bukan bagi isyarat kepada yang lain. Saya tahu, yang muda masuk mesti ada gandingan dengan yang tua. Saya hanya buat untuk diri saya, senang buat keputusan untuk diri saya sahaja.

“Saya tak pedulikan orang lain. Semua keputusan untuk saya, yang penting, biarpun veteran ini pergi, tapi akan ada veteran lain masih ada lagi untuk bersama-sama orang muda,” katanya. – MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. sadig sigaragar hanya cakap berDEGAR2 nak tunjuk hero pasal Kutuk TALIBAN(PELAJAR)tetapi TIDAK faham sejarah mereka seperti pejuang MUJAHIDIN …..rakyat Johor dan TMJ sendiri beri komen meluat pada sadiq

Comments are closed.