Pemilik Pusat Gimnasium Enrich Fitness, Krishnakumar membersihkan alat senaman sebagai persiapan pembukaan pusat gimnasiumnya selepas kerajaan membenarkan aktiviti tersebut kembali beroperasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 18 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pengusaha pusat gimnasium merayu kepada kerajaan agar tidak menutup lagi premis tersebut yang bakal melenyapkan industri sukan dan kesihatan itu di negara ini pada masa akan datang.

Presiden Persatuan Pusat Gim Malaysia, Krishna Kumar berkata, pihaknya percaya pengusaha industri itu akan ‘gulung tikar’ dan tidak mampu bangkit lagi sekiranya pusat itu ditutup buat kali ketiga kerana pandemik Covid-19.

Menurutnya, kebanyakan pengusaha sudah pun berhenti menjalankan bisnes itu selepas mengalami kerugian besar sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kami sudah cukup sengsara sejak PKP 1.0 lagi malah cuba bangkit selepas PKP 2.0 namun semakin ramai pengusaha pusat gimnasium gulung tikar apabila golongan itu tidak lagi dapat bertahan kerana tidak mampu membayar sewa lot kedai dan gaji kakitangan.

“Pengusaha kini berdepan tekanan berikutan terpaksa menanggung kerugian besar mencecah 100 peratus selepas sekali lagi operasi dihentikan sejak pelaksanaan PKP 3.0 bermula 12 Mei lalu hingga kini.

“Justeru kami berharap pusat gimnasium tidak ditutup lagi selepas ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pemilik Pusat Gimnasium Enrich Fitness, Krishnakumar membersihkan alat senaman sebagai persiapan pembukaan pusat gimnasiumnya selepas kerajaan membenarkan aktiviti tersebut kembali beroperasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 18 SEPTEMBER 2021.

Bermula Sabtu lalu, semua pusat gimnasium, kecuali di negeri yang masih berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), kini dibenarkan kembali beroperasi, namun terhad untuk penggunaan individu yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19.

Perkara itu dinyatakan dalam kemas kini prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dimuat naik di telegram rasmi mereka.

Mengikut SOP itu, pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi tertutup (indoor) dibenarkan dalam Fasa Dua dan Tiga PPN, dengan pematuhan 50 peratus kapasiti penggunaan atau kawasan dengan kawalan penyeliaan.

Kehadiran pekerja pula adalah tidak melebihi 60 peratus tenaga kerja merangkumi pengurusan dan operasi untuk Fasa Dua dan 80 peratus untuk Fasa Tiga.

Hanya individu yang telah lengkap vaksinasi boleh menggunakan kemudahan itu dan mereka dibenarkan membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah bagi aktiviti tersebut dengan pematuhan SOP yang ketat.

Pengunjung tidak melepaskan peluang melakukan senaman berikutan kerajaan membenarkan aktiviti tersebut kembali beroperasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Gimnasium Enrich Fitness, Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 18 SEPTEMBER 2021.

Mengulas lanjut, Kumar yang juga pemilik Enrich Fitness berkata, kelewatan pembukaan pusat gimnasium berbanding pawagam, futsal dan badminton telah memberi gambaran negatif kepada premis itu.

Jelas beliau, maklumat lebih terperinci perlu diperolehi berkaitan kemudahan berkenaan yang sebelum ini didakwa berisiko tinggi menularnya Covid-19.

“Sebenarnya lebih 80 peratus pengusaha gimnasium beroperasi di rumah kedai yang tidak mempunyai pendingin hawa selain turut mempunyai ruang pengaliran udara sistematik sekali gus dapat mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Situasi berkenaan berbeza dengan beberapa gimnasium kelas A yang beroperasi di pusat beli-belah atau bangunan tertentu kerana mereka sememangnya mempunyai pendingin hawa dan pengudaraan kurang sistematik sekali gus boleh menyebabkan penularan Covid-19.

“Kemungkinan pihak berkaitan hanya mengambil maklumat atau memantau gimnasium kelas A sahaja berbanding bertanya atau melihat sendiri keadaan fasiliti berkenaan di lot kedai.

“Hal ini kerana SOP bagi gimnasium di lot kedai lebih mudah dikawal kerana pintu masuknya satu sahaja. Kami boleh kenal pasti pengunjung yang keluar dan masuk,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast