PTPTN discount National Higher Education Fund Corporation
PTPTN

TAHNIAH kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang baru-
baru ini telah melancarkan produk baharu dikenali Simpan SSPN Plus, iaitu kesinambungan produk SSPN-i Plus yang ditambah baik dan berwajah baharu
dengan pelbagai keistimewaan serta manfaat kepada pendeposit.

Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, melalui produk baharu
itu, pendeposit mempunyai banyak pilihan berikutan pihaknya kini bekerjasama dengan tiga syarikat pengendali takaful, iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad.

Simpan SSPN Plus ini diangkat sebagai produk baharu yang sangat kompetitif dan unik kerana simpanan pendidikan digabungkan bersama manfaat perlindungan takaful. Misalnya, pendeposit bakal memperoleh perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, penyakit terminal sehingga RM200,000, manfaat penghantaran balik jenazah sehingga RM10,000, rawatan pesakit luar akibat kemalangan sehingga RM3,000 dan perlindungan sehingga umur pendeposit 69 tahun.

Ironinya, sejak ditubuhkan pada tahun 1997, PTPTN sebagai agensi yang menyediakan pinjaman pendidikan dilihat sangat komited, kreatif dan proaktif dalam memperkenalkan pelbagai produk simpanan baharu sebagai inisiatif untuk menggalakkan orang ramai menabung demi masa depan pendidikan anak.

Transformasi penting yang dapat dilihat ialah bagaimana PTPTN bergerak ke hadapan dengan mempelbgaikan fungisnya apabila menyediakan skim simpanan dan mengurus deposit untuk tujuan pendidikan tinggi. Boleh dikatakan kini PTPTN sedang berperanan sebagai bank simpanan pendidikan yang unggul dalam membantu meringankan beban kewangan ibu bapa ketika anak mereka melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Hal ini kerana, produk simpanan yang ada membolehkan ibu bapa memulakan simpanan seawal usia satu hari kelahiran anak dan boleh menyimpan sehingga anak bersedia untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Justeru anggota masyarakat khususnya pasangan ibu bapa muda perlu bertindak bijak dengan merebut peluang serta manfaat yang disediakan melalui produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Ironinya banyak manfaat yang bakal dinikmati baik oleh ibu bapa mahupun anak-anak dari mula mendaftar atau membuka akaun sehingga tabung ini digunapakai kelak.

Misalnya, skim yang patuh syariah dan dijamin kerajaan ini, disamping memberi manfaat perlindungan dan rawatan perubatan, ibu bapa juga akan menikmati dividen yang kompetitif serta pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000. Ini satu manfaat simpanan yang cukup signifikan kepada ibu bapa.

Pada masa yang sama penabungan secara tetap dan konsisten dengan komitmen
bulanan serendah RM30 bakal meringankan beban kewangan pukal yang diperlukan
ketika anak-anak ingin mendaftar masuk IPT baik dalam mahupun luar negara. Dalam pada itu, dengan penabungan ini juga anak-anak layak untuk memohon pinjaman PTPTN kelak.

Jelas di sini manfaat tabungan melalui SSPN bakal dirasai dan dinikmati oleh ibu bapa pada sepanjang masa melalui pelepasan taksiran cukai, dividen dan perlindungan takaful, serta oleh anak-anak ketika mahu melanjutkan pengajian. Tuntasnya, simpanan berbekalkan semangat simpan setiap bulan secara konsisten sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit, akhirnya akan mengurangkan beban pukal ibu bapa. Apa yang penting dalam konsep simpanan jangka panjang ini ialah ibu bapa perlu mendisiplinkan diri agar dapat memperuntukkan sejumlah wang dari pendapatan bulanan secara tetap untuk dimasukkan dalam tabung ini.

Justeru masyarakat perlu menilai dan menerima produk PTPTN sebagai skim simpanan jangka panjang yang bertindak sebagai bank simpanan pendidikan untuk anak masing-masing. Bahkan, boleh juga menyuburkan budaya menabung dalam diri kita dan anak-anak. Maka tidak salah dan tidak rugi jika kita “memaksa” diri untuk menabung dalam SSPN sejak anak kita baru dilahirkan kerana manfaatnya kelak cukup setimpal.

Dalam konteks ini, ibu bapa perlu bijak membaca senario masa depan membabitkan
kos pendidikan tinggi baik dalam mahupun luar negara. Secara prinsipnya kos pengajian di IPT pasti akan terus meningkat pada masa akan datang mengikut kos perbelanjaan semasa dan ini akan menyebabkan ibu bapa bakal berhadapan dengan komitmen kewangan yang besar jika mahu melihat anak menjejak kaki di menara gading.

Oleh itu umpama peribahasa sediakan payung sebelum hujan, ibu bapa perlu memulakan pelaburan dalam bentuk simpanan untuk menampung kos pengajian anak dari sekarang dan sudah pasti SSPN adalah pilihan yang sangat tepat dan kompetitif. Secara prinsipnya PTPTN menyediakan manfaat pelaburan ilmu kepada ibu bapa untuk pendidikan masa depan anak-anak. Harus diingat, harta terbaik yang boleh kita tinggalkan untuk anak-anak ialah pendidikan dan ilmu pengetahuan untuk kelangsungan hidup mereka.

Jadi rebutlah peluang yang disediakan oleh PTPTN melalui SSPN ini agar kita dapat
menyediakan laluan dan peluang masa depan yang lebih baik untuk anak-anak
mencapai cita-cita melanjutkan pengajian di IPT. Pada masa yang sama sudah tiba
masanya untuk pihak kerajaan mengkaji kemungkinan untuk menaiktaraf PTPTN
menjadi Bank Simpanan Pendidikan Negara (BSPN) demi perkhidmatan dan manfaat
yang lebih menyeluruh kepada anggota masyarakat.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast