Salah sebuah kenderaan yang terlibat dalam kejadian pecah cermin kenderaan dan curi yang dikesan di kawasan sekitar Bandar Tasik Puteri, Rawang.

KUALA LUMPUR – Polis Gombak mengesan empat kes pecah cermin kenderaan dan curi di kawasan Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, terbaharu, pihaknya menerima laporan pada pukul 10.38 pagi tadi daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun selepas kereta Perodua Axia miliknya dipecah pada bahagian cermin belakang sebelah kanan.

Menurut beliau, mangsa yang meletakkan kenderaan tersebut di hadapan rumahnya mengalami kerugian beberapa barang berharga termasuk wang syiling berjumlah RM100 dan sekeping kad Touch N Go.

“Hasil siasatan awal mendapati terdapat tiga lagi laporan polis berkaitan kes pecah cermin kenderaan dan curi di kawasan perumahan berkenaan dengan modus operandi serupa dipercayai dilakukan oleh suspek sama.

“Tiga kes tersebut membabitkan kereta jenis Proton Saga dan Persona serta Perodua Axia dengan anggaran keseluruhan kerugian kira-kira RM2,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Zainal menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat, SM Mohd Nasiruddin Mohd Nasir di talian 03-61262222/ 017-5063164.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette