Zarinah Mohideen

SELAYANG – Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) merayu supaya kerajaan membenarkan industri perkahwinan kembali beroperasi menjelang Oktober ini.

Presiden persatuan berkenaan, Zarinah Mohideen berkata, rayuan itu seiring dengan pembukaan kembali pelbagai sektor baru-baru ini.

Jelas beliau, majoriti usahawan industri perkahwinan kini berhadapan dengan situasi kritikal kerana terpaksa menanggung hutang namun tidak meraih pendapatan.

“Kebanyakan sektor telah dibuka semula jadi kami berharap sektor perkahwinan juga akan dibuka semula.

“Kami ada dengar desas desus industri perkahwinan dibuka semula pada bulan 11 tapi kami tidak tahu sejauh mana kebenarannya.

“Jadi kami harap kerajaan akan membuka industri kami secepat mungkin kalau boleh pada Oktober ini sebab ramai pemilik syarikat bankrup, kena halau dari premis, ramai ahli yang jual premis sendiri, aset sendiri dan peralatan syarikat, ada yang dah nak jual dewan-dewan.

“Jadi kami berharap kerajaan memberi peluang kepada industri kami seperti mana memberi peluang kepada industri lain,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya, sehingga kini sebanyak 60 peratus pengusaha industri perkahwinan yang telah gulung tikar kerana tidak  mampu bertahan.

Zarinah yakin jumlah itu akan terus meningkat sekiranya kerajaan tidak memberi kebenaran untuk industri berkenaan kembali beroperasi tahun ini.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan ahli PPMPM bagi membincangkan isu dan hala tuju industri perkahwinan.

Turut hadir Timbalan Presiden PPMPM,  Daeng Syamsalleh Hamzah.

Tambah Zarinah, pengusaha industri perkahwinan bersedia untuk melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat sebagai kebenaran untuk kembali beroperasi, bagi mengelakkan perniagaan mereka lingkup.

“Beri kami peluang dengan SOP yang ketat atau beri SOP baharu, kalau kerajaan mahu kami cadangkan SOP pun boleh seperti sanitasi, pekerja kami divaksin dan kapasiti di dewan untuk tetamu,” katanya lagi.

Selaku Presiden PPMPM, Zarinah akan menghantar surat rayuan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam masa terdekat supaya  rayuan industri ini didengari dan dipertimbangkan.-MalaysiaGazette