Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan bagi kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim akan berakhir esok.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang memberitahu, perbicaraan tersebut melibatkan 18 individu yang terlibat dalam rusuhan pada tiga tahun lalu.

“Maka, seramai 18 tertuduh telah dituduh di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan perbicaraan masih berjalan sehingga 23 September esok hari dan dua tertuduh telah dituduh dibawah Seksyen 427 iaitu khianat dan dikenakan denda RM7,000 setiap seorang.

“Polis Diraja Malaysia juga telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara berkenaan 12 suspek yang turut ditahan berkaitan kes ini untuk arahan selanjutnya” katanya pada esi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN) sebulan selepas mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya, pada 27 November 2018.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, kerajaan bercadang meminda Perlembagaan bagi memudahkan ibu-ibu mendapatkan kerakyatan untuk anak-anak mereka yang lahir di luar negara dan mempunyai bapa bukan warganegara Malaysia.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesukaran dihadapi ibu-ibu yang mahu mendaftarkan anak-anak mereka.

“Saya sebagai Menteri Dalam Negeri bersimpati dengan kes-kes ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki bukan warganegara yang melahirkan anak di luar negara kerana perlembagaan tidak memperuntukkan untuk anaknya diberikan taraf kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang.

“Tetapi sebagai seorang menteri yang mengangkat sumpah untuk menjunjung dengan perlembagaan, maka saya terikat dengan perlembagaan dan perundangan sedia ada dalam negara berhubung dengan kewarganegaraan yang diperuntukkan dalam Bahagian 3 dalam perlembagaan dan kaedah-kaedah kewarganegaraan 1964,” ujarnya.

Beliau mengakui, kerajaan berada dalam keadaan terhimpit di atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes Suriani Kempe dan enam wanita lawan kerajaan Malaysia, kes Mahisha Suhaila Abdul Majid lawan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan dua lagi kes berhubung pentafsiran istilah bapa.

“Keputusan kes Mahisha menyebelahi kerajaan dan telah dibuat rayuan oleh Mahisha kepada mahkamah rayuan dan akan dibicarakan pada November 2021. Jadi ada dua kes, satu kemenangan untuk kerajaan dan dibuat rayuan, satu lagi kes baru-baru ini.

“Setelah menerima dua keputusan yang berbeza, kementerian bercadang untuk membawa perkara ini bagi mendapatkan polisi baharu kerajaan untuk meminda Perlembagaan bagi memudahkan ibu-ibu melahirkan anak mereka di luar negara walaupun berkahwin dengan warganegara asing,” tambahnya.

Pada masa sama, Hamzah berkata, perkara itu perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 159(5) Perlembagaan. – MalaysiaGazette