KUALA LUMPUR – Sistem pengudaraan dan kualiti udara dalaman yang baik penting bagi membendung penularan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Menurutnya, aspek pengudaraan di semua jenis bangunan seperti tempat kerja, premis perniagaan, institusi pengajian, rumah ibadah termasuk kediaman merupakan antara perkara penting yang perlu dilihat sebagai salah satu strategi dalam mencapai hasrat kerajaan.
“Sejajar dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN), kerajaan akan melaksanakan inisiatif pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dari semasa ke semasa mengikut fasa yang ditetapkan.
“Ini adalah petanda yang positif namun pada masa yang sama kerajaan sememangnya sentiasa menekankan agar pembukaan ini dijalankan secara terancang bagi membendung
penularan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ujarnya, terdapat tiga jenis pengudaraan yang terdapat di bangunan-bangunan termasuk premis perniagaan dan ruangan tempat kerja meliputi pengudaraan secara semula jadi; sistem penyaman udara tanpa pengudaraan mekanikal (sistem penyaman udara tidak berpusat) dan sistem penyaman udara dengan pengudaraan mekanikal (sistem penyaman udara berpusat).
Tambah Noor Hisham, bangunan yang mempunyai pengudaraan secara semula jadi mempunyai risiko yang rendah dalam penularan penyakit Covid-19 dan lain-lain penyakit bawaan udara.
“Ini kerana ketumpatan virus yang berlegar di dalam udara membolehkan kesan jangkitan dapat dikurangkan melalui udara secara dilution.
“Bagi premis atau ruangan dengan sistem penyaman udara tanpa pengudaraan mekanikal (sistem penyaman udara tidak berpusat) disarankan untuk membuka tingkap, memasang kipas dan digalakkan untuk menetapkan suhu antara 23 hingga 26 darjah celcius.
“Manakala bagi menjamin kualiti udara yang baik di dalam bangunan bersistem penyaman udara dengan pengudaraan mekanikal, semua komponen dan kawalan sistem penyaman udara berpusat, Mechanical Ventilation and Air Conditioning
(MVAC) hendaklah diselenggara dan berfungsi mengikut reka bentuknya,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, langkah-langkah pencegahan lain yang perlu dititik berat adalah dengan menghadkan bilangan individu dalam ruangan sempit, memastikan pematuhan pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal bagi mengurangkan jangkitan Covid-19. – MalaysiaGazette