The Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Covid-19 SOP flash flood floods Labour Day public holiday
Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila dimaklumkan hanya 203 daripada 873 individu yang menghadiri program vaksinasi khas Covid-19 anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

Baginda akan meneliti nama individu itu yang terdiri daripada guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin sebelum tindakan ke atas mereka ditentukan kelak.

Sultan Sharafuddin bertitah, tambah mendukacitakan apabila 96 daripada mereka menolak untuk divaksin pada program yang berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Apa yang berlaku amat mengecewakan kerana kedegilan individu tertentu ini hanya menyusahkan urusan rakyat jelata terutama murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA.

“Beta akan meneliti nama guru KAFA, Ahli Jawatankuasa Masjid dan jurunikah yang memutuskan untuk tidak divaksin dan ketetapan berhubung tindakan terhadap mereka bakal ditentukan kelak,” titah baginda menerusi laman Facebook (FB) Selangor Royal Office petang tadi.

Baginda menegaskan, pelbagai inisiatif sudah dilakukan dengan kerjasama JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) demi memastikan kesejahteraan umat Islam di negeri ini.

“Ini termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin kepada petugas masjid dan pejabat agama. Ia bertujuan membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa,” titah baginda.

Terdahulu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad memaklumkan akan mempersembah senarai nama guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan menerima suntikan vaksin.

Tindakan itu diambil apabila didapati 80 peratus daripada 146 yang hadir tengah hari tadi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dilaporkan masih enggan disuntik.

Seramai 872 individu yang terdiri daripada kumpulan itu belum menerima vaksin dipanggil hadir bagi mendapatkan suntikan.

Pada 2 September lalu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita terhadap segelintir rakyat negeri itu yang menolak vaksin Covid-19 dan menyifatkannya sebagai usaha menggagalkan capaian imuniti kelompok.

Seramai 562 orang di Selangor dikenal pasti enggan menerima suntikan vaksin walaupun kempen pemberian vaksin galak dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Daripada jumlah itu, dalam sektor pendidikan seramai 268 adalah guru sekolah kebangsaan, sekolah menengah (182) dan guru KAFA (95).

Bagi kategori guru KAFA, seramai 326 orang dikenal pasti belum menerima suntikan vaksin.

Dalam sektor pengurusan agama Islam pula, seramai 17 orang dilapor enggan menerima vaksin iaitu pegawai masjid (11 orang) dan jurunikah (enam orang). – MalaysiaGazette