Anwar Ibrahim RMK12 Twelfth Malaysia Plan
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pantai dalam keadaan baik dan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa diamalkan.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pihak berkuasa tempatan itu berbuat demikian selepas menerima rungutan dan aduan para pengunjung mengenai situasi yang dihadapi mereka dan para pengusaha khemah di pantai Port Dickson.

“Perkara ini saya percaya dapat diselesaikan dengan baik dan memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

“Oleh itu, saya nasihatkan pengusaha khemah untuk menyimpan dahulu khemah dan hanya memasangnya jika ada permintaan daripada pengunjung yang berminat dengan perkhidmatan ditawarkan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, para pengunjung dan pengusaha khemah juga harus memastikan pantai sentiasa bersih.

 

“Terapkan inisiatif pembersihan pantai seperti yang digerakkan pelbagai pihak termasuk Kedutaan Thailand ke Malaysia dan Veritas Eco-Warriorsm,” katanya.

Pantai Port Dickson menjadi tumpuan selepas Negeri Sembilan beralih dari Fasa 1 kepada 2 menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) Ogos lalu.

Terbaharu, mulai 24 September ini, Negeri Sembilan akan beralih kepada Fasa 4 selepas didapati patuh dan mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN.

Ia termasuklah dengan mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) serta peratusan lengkap divaksinasi.

 

Pada Awal September lalu, MPPD turut menyasarkan kedatangan sejuta pelancong ke daerah ini menjelang akhir tahun 2021.

Sasaran itu mampu dicapai berikutan kedatangan pelancong sekitar Negeri Sembilan semakin meningkat dengan Port Dickson merekodkan kira-kira 150,000 pengunjung selepas sektor pelancongan mula dibuka semasa Fasa Tiga PPN pada 4 September lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast