Hantaran yang dimuat naik seorang peniaga mengundang siasatan polis.

KOTA BHARU – Seorang peniaga disiasat polis selepas membuat hantaran dan memuat naik sekeping gambar di Facebook miliknya mendakwa makan di sebuah restoran biarpun belum lagi mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata lelaki berusia 43 tahun itu membuat hantaran “tak pernah kena walau satu dozz pun boleh dine in juga…Gumonim..Semua” pada 11 Sept lepas, sebelum seorang pemilik Twitter membuat ciapan tangkap layar hantaran Facebook milik lelaki terbabit, semalam.

Beliau berkata siasatan terhadap lelaki itu dilakukan bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dilaksanakan.

“Bertindak atas maklumat itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pasir Puteh bagi membolehkan satu siasatan dilakukan ke atas kejadian. Polis telah mengesan pemilik akaun Facebook terbabit dan dia telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh semalam, bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan lelaki itu mendakwa gambar yang dimuat naik merupakan gambar individu yang tidak dikenali yang diambil di dalam group WhatsApp, lelaki itu juga mendakwa tujuannya memuat naik gambar tersebut hanyalah untuk bergurau dan tidak ada niat yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shafien berkata siasatan mendapati lelaki berkenaan masih belum mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin atas alasan mahu melihat terlebih dahulu jika ada sebarang tindak balas yang tidak diingini oleh penerima vaksin yang lain.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 269/506(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast