Moon Jae-in. foto Agensi

SEOUL – Korea Utara menolak cadangan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in untuk mengisytiharkan penamatan peperangan 1950-53 secara rasmi sebagai ‘sesuatu yang pra matang’ dengan memberi alasan pengisytiharan sedemikian tidak bermakna selagi dasar ‘bermusuhan’ Amerika Syarikat (AS) tidak berubah.

Naib Menteri Luar, Ri Thae-song menolak cadangan itu dalam kenyataan yang disiarkan Korean Central News Agency (KCNA) berkata, pengisytiharan penamatan peperangan ‘tiada mempunyai kekuatan yang mengikat undang-undang’ dan akan ‘menjadi caritan kertas ketika keadaan berubah’.

“Tiada jaminan pengisytiharan penamatan peperangan akan membawa kepada penghapusan dasar bermusuhan terhadap DPRK (Korea Utara), ketika ini di sememanjung menghampiri situasi ‘touch and go’, ujarnya seperti dipetik Yonhap.

DPRK merupakan singkatan kepada Republik Demokrasi Rakyat Korea.

Semasa berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada minggu ini, Moon mencadangkan kedua-dua Korea dan AS, selain kemungkinan China, mengisytiharkan penamatan peperangan 1950-53 secara rasmi dengan menyatakan ia akan menandakan titik tolak kewujudan orde perdamaian baharu di semenanjung Korea.

Sejurus selepas kenyataan itu dikeluarkan Menteri Penyatuan Korea Selatan berkata, pengisytiharan tersebut adalah ‘sangat penting’ ketika pengisytiharan politik untuk mengakhiri peperangan serta memulakan rundingan perdamaian dan memulakan penghapusan nuklear.

“Kerajaan akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan negara berkaitan menerusi pelbagai peluang dan berusaha memajukan proses perdamaian, termasuk pengisytiharan penamatan peperangan,” kata Timbalan Jurucakap Kementerian itu, Cha Deok-cheol pada taklimat media. – Agensi