SEPANG – Pengunjung yang datang beriadah bersama keluarga di Pantai Bagan Lalang di sini diingatkan supaya menjaga kebersihan kawasan sekitar selepas melakukan aktiviti perkelahan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, orang ramai yang mengunjungi kawasan pantai berkenaan juga diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dan tidak meninggalkan sebarang sisa makanan atau sampah-sarap.
“Sejak 16 September lalu kita telah meningkatkan kapasiti pengawasan dengan menyediakan tambahan pekerja untuk bersihkan kawasan pantai dan minta pihak yang menguruskan sampah iaitu KDEB Waste Management supaya meningkatkan kekerapan kutipan sampah bagi memastikan kawasan ini sentiasa dalam keadaan bersih.
“Kepada semua pengunjung di kawasan ini, oleh kerana jumlah mereka yang ramai dapatlah sama-sama menjaga prosedur operasi standard (SOP) serta kebersihan pantai kerana kita tidak mahu lebihan makanan dicampak ke dalam laut atau pun sisa plastik dibiarkan begitu sahaja.
“Gunakan lah tong sampah yang disediakan, kalau boleh bawa pulang semula sampah tersebut. Kalau ada yang datang dari Gombak, bawa pulang semula ke Gombak dan begitu juga kalau ada yang datang dari Semenyih, bawa pulang sampah tersebut supaya tidak memberi beban kepada orang Sepang yang membayar cukai untuk pengurusan sampah yang pengunjung lain bawa ke sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan operasi pemantauan SOP Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Pantai Bagan Lalang hari ini.
Mengulas lanjut, Abd. Hamid berkata, jumlah kutipan sampah turut didapati meningkat dua kali ganda sehingga melebihi tiga tan pada hujung minggu berikutan terdapat peningkatan jumlah pengunjung.
“Kita sediakan sebanyak 30 buah tong sampah berikutan kadar pengunjung yang semakin meningkat.
“Sebolehnya jaga lah kebersihan kerana kita cuba lari dari wabak Covid-19 tetapi penyakit lain pula yang datang kalau kita tidak menjaga kebersihan kawasan sekitar,” ujarnya. – MalaysiaGazette