Keadaan gunung berapi Cumbre Vieja yang semakin giat mengeluarkan lava. foto EPA

LA PALMA – Pasukan bomba di Kepulauan La Palma terpaksa berundur berikutan letupan gunung berapi yang semakin aktif,

Gunung berapi Cumbre Vieja mula meletus pada hari Ahad dengan ribuan orang dipindahkan dan lebih daripada 350 buah rumah musnah.

Pada hari Jumaat, pihak berkuasa di tiga bandar lagi mengarahkan lagi penduduk untuk berpindah.

Asap tebal kini memenuhi ruang udara sepanjang  empat kilometer (2.4 batu) menyebabkan penerbangan masuk dan keluar dari lapangan terbang dibatalkan.

Tidak ada kematian yang dilaporkan.

Aktiviti gunung berapi meningkat pada hari Jumaat dan media Sepanyol melaporkan satu lagi lubang baharu telah terbuka menyebabkan lava mengalir.

Satu catatan media sosial dari pasukan bomba La Palma mengatakan anggota bomba telah “menarik diri dari kawasan itu kerana peningkatan fenomena letupan”.

Anggota bomba telah melakukan kerja-kerja pencegahan di kawasan Todoque.

Kira-kira 1,000 orang di Tajuya, Tacande de Abajo dan Tacande de Arriba diberitahu untuk berpindah pada hari Jumaat kerana aktiviti gunung berapi yang semakin meningkat.

Syarikat penerbangan tempatan Binter telah membatalkan semua penerbangan ke La Palma kerana letusan tersebut manaka syarikat penerbangan Sepanyol Iberia juga menghentikan operasi di kawasan itu.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sánchez pada hari Jumaat memaklumkan Kabinet akan mengisytiharkan pulau itu sebagai “zon bencana” pada minggu depan.

Gunung berapi yang terletak di selatan pulau La Palma, mempunyai sekitar 80,000 orang penduduk.

Ia terakhir meletus 50 tahun yang lalu, pada tahun 1971.

Pada masa ini, para saintis tidak pasti berapa lama letusan ini akan berlanjutan.

Jurucakap Institut Geografi Nasional Sepanyol memberitahu BBC letusan masa lalu di La Palma berlaku antara 24 dan 84 hari. – BBC