SEPANG – Orang ramai yang mengunjungi Pantai Bagan Lalang untuk melakukan aktiviti riadah atau perkhemahan akan diarah untuk beredar sekiranya didapati masih tidak lengkap vaksinasi.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, anggota penguatkuasa yang menjalankan operasi pemantauan tidak akan sesekali berkompromi dengan pengunjung yang enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menurut beliau, berdasarkan operasi pematuhan SOP Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijalankan bermula pada 16, 17, 18 September dan hari ini, seramai 2,968 pengunjung telah diperiksa di kawasan tersebut.
“Agensi penguatkuasaan yang menjalankan pemeriksaan terbahagi kepada tiga kawasan yang merangkumi persisiran pantai, premis dan gerai serta kawasan jalan di sepanjang pantai.
“Kita akan periksa pengunjung dengan memastikan mereka memakai pelitup muka kecuali lah ketika mereka berada di dalam khemah serta perlu menjaga penjarakan sosial sekiranya di kiri atau kanan mereka bukan dalam kalangan ahli keluarga.
“Apa yang penting mereka ini sudah lengkap divaksin kerana kita akan menyemak status tersebut di aplikasi MySejahtera.
”Kita akan minta mereka untuk beredar dan pulang ke rumah sekiranya didapati masih tidak lengkap dos vaksin,” katanya pada sidang media selepas menjalankan pemantauan SOP di Pantai Bagan Lalang di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff.
Abd. Hamid berkata, kompaun sejumlah RM2,000 akan dikenakan kepada pengunjung yang didapati melakukan aktiviti perkelahan atau perkhemahan tanpa vaksinasi yang lengkap manakala lain-lain ketidakpatuhan SOP akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 bagi individu dan RM10,000 bagi perbadanan.
Selain anggota MPS, agensi lain yang turut sama menjalankan pemantauan termasuklah Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, Angkatan Pertahanan Awam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Selain pemeriksaan terhadap pengunjung, sebanyak 243 premis dan gerai turut diperiksa dalam tempoh masa yang sama.
“Setakat ini hanya satu kompaun dikeluarkan terhadap peniaga yang didapati tidak patuh SOP setelah diberi peringatan beberapa kali sebelum ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Abd. Hamid berkata, sehingga semalam, sejumlah 36,925 kes kumulatif Covid-19 direkodkan di daerah Sepang dengan 250 kes kematian dicatatkan. – MalaysiaGazette