Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit diunjur diniagakan lebih tinggi minggu depan berikutan sentimen yang dijangka lebih baik, disokong pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang ditunggu-tunggu.

RMK-12 akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin (27 Sept) dengan menumpukan kepada kebajikan, jurang pendapatan, keselamatan sosial dan projek-projek yang sedang dilaksana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, krisis pandemik yang berpanjangan telah mengubah corak perbelanjaan kerajaan, yang ketika ini lebih memfokus kepada pembangunan pasca pandemik untuk lima tahun akan datang.

Selain itu, seorang peniaga memberitahu Bernama, pendirian Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat menyebabkan pelabur optimis, dan menurutnya sentimen risiko boleh memberi kesan kepada dolar AS.

Oleh itu, beliau berkata, ringgit dijangka bergerak antara paras 4.15 dan 4.19 minggu depan.

Fed telah memberi isyarat yang lebih memihak untuk menurunkan kadar faedah terhadap kadar prospek dengan kebanyakan pihak menjangka kenaikan akan bermula pada tahun depan.

Meskipun tiada perubahan dibuat terhadap kadar sedia ada pembelian aset yang berjumlah US$120 bilion sebulan pada masa ini, pengurangan itu mungkin berakhir pada pertengahan tahun depan.

Kebimbangan terhadap hutang Evergrande Group, China dilihat turut reda berikutan suntikan mudah tunai oleh pihak berkuasa monetari.

Bebanan hutang Evergrande telah menjejaskan sentimen pelabur hampir sepanjang minggu, sekali gus memanfaatkan dolar AS.

“Pelabur akan terus memantau perkembangan pemaju hartanah yang sedang bergelut,” kata peniaga.

Bagi minggu ini, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS.

Secara mingguan, ringgit merosot kepada 4.1865/1890 berbanding dolar AS pada Jumaat daripada 4.1700/1730 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain berbanding minggu lepas.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0981/1004 daripada 3.0985/1010 seminggu sebelumnya dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7359/7393 daripada 5.7483/7525.

Unit tempatan turut mengukuh berbanding euro kepada 4.9120/9150 daripada 4.9135/9170 namun merosot berbanding yen Jepun kepada 3.7925/7951 daripada 3.7913/7943 pada Jumaat lepas. – MalaysiaGazette